Skip to main
Logo Malaysiakini

Kanak-kanak M'sia terdedah pada eksploitasi seksual dalam talian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sekurang-kurangnya empat peratus kanak-kanak Malaysia berumur antara 12 dan 17 tahun mengalami eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian (OCSEA) dalam tempoh setahun lalu.

Dapatan itu diperolehi daripada kajian oleh Dana Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan rakan kongsinya.

Melalui laporan kajian Disrupting Harm in Malaysia (Mengganggu Kemudaratan di Malaysia) yang dibentangkan petang ini, kajian menunjukkan antara ekploitasi itu termasuk diperas ugut untuk melakukan aktiviti seksual, imej seksual mereka dikongsi tanpa kebenaran, atau dipaksa melakukan aktiviti seksual selepas dijanjikan wang atau hadiah.

“Selain itu, lima peratus (46 orang) daripada kanak-kanak yang dikaji mengakui menerima permintaan yang tidak diingini untuk bercakap tentang seks dan tiga peratus (26 orang) mendapat permintaan untuk melihat anggota sulit mereka, dan - bergantung kepada keadaan - boleh menjurus kepada antunan (grooming)," kata ringkasan eksekutif laporan itu.

Ia dibentangkan oleh perunding penyelidikanUnicef untuk programnya mengenai kanak-kanak dan teknologi digital, Marium Hussein.

Kajian itu dibiayai oleh Perkongsian Global untuk Mengakhiri Keganasan Terhadap Kanak-kanak melalui inisiatif Dalam Talian Selamatnya.

Ia membawa kepada kerjasama di antara Pejabat Penyelidikan Unicef ​​dengan ECPAT International dan Interpol.

Kaji selidik itu membabitkan 995 kanak-kanak di Malaysia dan berlangsung dari 2017 hingga 2019.

Beberapa soalan yang disifatkan penyelidik sebagai sensitif - seperti mengenai sama ada kanak-kanak terbabit pernah atau tidak berkongsi imej seksual dalam talian - hanya melibatkan responden berusia antara 15 dan 17 tahun. .

Berdasarkan dapatan, kata inisiatif itu, peratusan yang dikumpulkan "mewakili anggaran 100,000 kanak-kanak yang mungkin telah mengalami mana-mana kemudaratan ini dalam tempoh satu tahun".

Menurut Marium, mereka percaya jumlah sebenar kanak-kanak Malaysia yang terdedah kepada eksploitasi seksual dalam talian itu mungkin lebih tinggi.

Katanya hal itu disebabkan oleh sifat sensitif tinjauan itu - yang mereka percaya - boleh menyebabkan tahap pelaporan yang lebih rendah daripada keadaan sebenar.

Menurut laporan tersebut, kebanyakan eksploitasi itu dialami kanak-kanak melalui penyedia perkhidmatan media sosial utama.

Platform paling lazim digunakan ialah WhatsApp, Facebook dan Facebook Messenger, WeChat atau Telegram.

[Baca berita penuh]