Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwaan mohon lucut hak wang berkaitan 1MDB dari sekutu Jho Low

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pendakwaan telah memfailkan saman lucut hak berkaitan 1MDB terhadap Casey Tang, individu yang didakwa menjadi sekutu kepada ahli perniagaan dalam pelarian, Jho Low.

Menerusi saman itu, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu, pendakwaan menuntut untuk melucut hak wang berjumlah RM156,500 dalam empat akaun bank Tang - tiga di Maybank dan satu di RHB.

Pendakwaan juga ingin melucut hak sebuah kereta SUV Subaru XV2.01 sports yang didaftarkan di bawah nama Tang, serta sebuah banglo di Bandar Kinrara dan sebuah unit rumah kedai di Bandar Puchong Jaya, Selangor.

Hari ini, pengurusan kes saman itu dibuat di depan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Pengurusan hari ini untuk memutuskan sama ada responden perlu hadir ke mahkamah, sama ada dia sendiri atau diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous memberitahu Sequerah yang responden belum membuat kehadiran untuk kes itu.

Dia juga memberitahu notis pihak ketiga untuk aset yang disasarkan oleh saman itu telah diwartakan pada 30 Ogos lalu.

Di tahap ini, peguam Muhamad al-Muazzim Azmi Amin yang mewakili Maybank memberitahu anak guamnya ingin menuntut sebahagian daripada aset yang disenaraikan.

Sequerah menetapkan 12 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya bagi membolehkan pihak terlibat memfailkan afidavit berkaitan tuntutan pihak ketiga.

Low, Tang dan beberapa individu lagi didakwa terlibat menyelewengkan berbilion ringgit daripada 1MDB.

Dalam perbicaraan rasuah RM2.28 bilion dana 1MDB terhadap Najib Razak, pendakwaan mendakwa mereka menyelewengkan dana itu dengan restu bekas perdana menteri itu.

Peguam Najib bagaimanapun menyatakan anak guamnya tidak terlibat dan tidak tahu tentang salah laku yang terjadi.

[Baca berita asal]