Skip to main
Logo Malaysiakini

PAC kembali bertaring - jawatankuasa yang bongkar skandal LCS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pada masa lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Dewan Rakyat kadang-kadang digelar "harimau tak bertaring", menggambarkan ia merupakan badan penting yang tidak mempunyai kuasa yang ketara.

Persepsi itu berubah bulan lalu apabila PAC mengeluarkan laporannya yang lama ditunggu-tunggu mengenai perolehan kapal tempur pesisir (LCS) untuk tentera laut.

Laporan itu mendedahkan sifat industri keselamatan yang tidak telus dan mendedahkan bagaimana rakyat Malaysia menanggung bil RM9 bilion untuk projek yang disalah urus dan tersasar jauh daripada jadual asal.

Selepas. pelbagai tekanan, kerajaan terpaksa menyah klasifikasi laporan siasatan lain mengenai projek itu malah membenarkan lawatan di lokasi beberapa daripada enam kapal sedang dibina.

Bagaimanapun, kerana laporan PAC yang bersifat kritikal, jawatankuasa itu mendapat kecaman daripada penyokong bekas menteri pertahanan dan perdana menteri yang meluluskan projek itu.

Sebagai tindak balas, Pengerusi PAC Wong Kah Woh telah berulang kali menafikan dakwaan bahawa jawatankuasanya - yang bersifat bi-partisan - berat sebelah.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini, Wong menjelaskan tujuan PAC, kerja dalaman, kesannya, dan pembaharuan yang dilihat setakat ini.

Apa mandat PAC?

PAC memperoleh kuasanya daripada Dewan Rakyat yang memilih pengerusi jawatankuasa dan timbalan pengerusi.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 77(1), PAC mempunyai kuasa untuk memeriksa akaun kerajaan Malaysia, akaun semua pihak berkuasa awam, laporan ketua audit negara, dan apa-apa perkara lain yang "jawatankuasa mungkin fikir sesuai" atau perkara yang dirujuk kepada PAC oleh Dewan Rakyat.

"Pada asasnya, kita mempunyai kuasa yang sangat luas, kita boleh teliti apa saja yang kita mahu," kata Wong.

Bagaimanakah jawatankuasa memutuskan perkara yang akan disiasat?

PAC kini mempunyai 14 anggota - sembilan mewakili kerajaan dan selebihnya daripada pembangkang. Wong menegaskan sejak 2018, PAC sentiasa membuat keputusan secara konsensus.

Sumber utama kemungkinan topik penyiasatan datang daripada taklimat berkala oleh ketua audit negara yang menyorot kejanggalan dalam laporannya yang sesuai untuk disiasat oleh PAC.

Bagaimanapun, topik lain seperti perolehan LCS, kontroversi sistem penguatkuasaan automatik (AES), aplikasi telefon pintar MySejahtera, dan perolehan vaksin Covid-19 adalah perkara yang dibawa oleh ahli PAC dan dipersetujui.

“Pada Disember 2020, terdapat kebimbangan mengenai harga vaksin, kaedah perolehan dan sebagainya.

"Kami terpaksa membuat keputusan pantas melalui WhatsApp untuk menangani perkara itu," kata Wong, sambil menyatakan bahawa mereka tidak dapat bertemu secara langsung pada masa itu kerana sekatan Covid-19.

Sentiasa mengikut konsensus

Sejak 2018, PAC sentiasa membuat keputusan secara konsensus, tegas Wong.

“PAC ialah jawatankuasa dwi-partisan. Jika kita mengikut majoriti, jawatankuasa tidak akan dapat bekerja. Sudah tentu, bukan mudah untuk mendapatkan konsensus.

“Ahli PAC sangat profesional. Apabila kita masuk ke bilik mesyuarat jawatankuasa PAC, semua orang akan meninggalkan 'jaket parti' mereka di luar.

“Kami bukan lagi DAP, PKR, Bersatu, atau Umno apabila kita bertemu sebagai PAC. Kami semua ahli yang ditugaskan oleh Dewan Rakyat untuk bekerja untuk negara,” katanya.

Ahli PAC termasuk dua masing-masing daripada DAP, Bersatu, PAS, dan Umno, dan masing-masing seorang daripada PKR, Amanah, Warisan, dan PBB.

Bagaimanakah penyiasatan PAC dijalankan?

Instrumen utama PAC ialah menjalankan pendengaran. Langkah pertama ialah menjemput pegawai peyelia kementerian kerajaan berkaitan subjek siasatan.

Sekiranya penjelasan pegawai itu mencukupi, perkara itu berakhir di situ. Jika tidak, PAC akan memanggil menteri kabinet dan, jika perlu, saksi lain seperti Jabatan Audit Negara atau kontraktor projek.

Kes rumit seperti LCS memerlukan 10 hari pendengaran dan 21 saksi.

Setelah perbicaraan selesai, sekretariat PAC akan memulakan proses penggubalan tiga peringkat. Pertama, sekretariat akan menyusun laporan berdasarkan Hansard (transkrip rasmi parlimen) dan mula menulis draf laporan.

“Mereka (ahli PAC) akan duduk untuk membaca Hansard, perkataan demi perkataan, dan kemudian mula menyediakan draf. Ini boleh mengambil masa sehingga dua bulan,” kata Wong.

Peringkat kedua melibatkan "mesyuarat pengemasan", di mana urusetia akan membacakan keseluruhan laporan untuk penelitian PAC.

“Jika ada sebarang pindaan, kita akan lakukan di sana. Itulah sebabnya laporan itu mengambil masa beberapa hari untuk dimuktamadkan.

“Setiap keputusan adalah atas konsensus. Tiada perdebatan hangat kerana fakta dan angka dibentangkan (kepada semua ahli). Setiap orang mempunyai kebebasan untuk menyampaikan pandangan mereka. Akhirnya, PAC akan mencapai kata sepakat,” katanya.

Sebuah kapal tempur pesisir dilihat semasa lawatan media ke Limbungan Tentera Laut Boustead di Lumut, Perak, 13 Ogos 2022.

Menurut Wong, laporan LCS mengambil masa empat hari penuh dengan ahli membaca 40 muka surat setiap hari.

Setelah draf akhir selesai, peringkat ketiga melibatkan proses pengesahan akhir di mana ahli PAC akan diberi peluang untuk meneliti keseluruhan laporan sekali lagi sebelum ia dicetak.

Mengapa memerlukan PAC untuk menyiasat perkara yang telah disiasat oleh pihak lain?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, PAC sering mengembangkan penyiasatan ketua audit negara, yang secara berkala membentangkan laporan kepada Parlimen.

Wong menjelaskan bahawa mandat PAC dan kuasa yang luas bermakna ia boleh meneroka sudut yang jauh di luar terma rujukan oleh badan penyiasat lain.

Pengawasan perundangan, kata Wong, juga bermakna perincian hal ehwal kerajaan yang sebaliknya akan dirahsiakan boleh direkodkan dalam Hansard dan didedahkan kepada umum.

“Tanpa PAC, kerajaan tidak akan mendedahkan (laporan siasatan lain mengenai LCS). Mereka tidak akan merasakan tekanan.

“PAC (yang bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia) berfungsi sebagai badan untuk menekan eksekutif untuk melakukan sesuatu dengan cara yang betul dan lebih baik,” katanya.

Laporan PAC dibentangkan di Parlimen tetapi tidak pernah dibahaskan. Apakah jenis kesan laporan tersebut?

Menurut Wong, walaupun laporan PAC tidak pernah dibahaskan di Parlimen, ia menjalankan tiga fungsi.

Pertama, semua laporan PAC termasuk cadangan jawatankuasa kepada kerajaan yang kadangkala boleh menghasilkan perubahan positif.

Memetik siasatan PAC mengenai perolehan vaksin Covid-19, Wong berkata PAC mengesyorkan kerajaan menetapkan harga vaksin Sinovac dan kerajaan bersetuju.

Penghantaran 828,000 dos vaksin Covid-19 tiba di Malaysia, 20 Mei 2021.

Kedua, sejak 2018, PAC mengadakan mesyuarat susulan dengan agensi atau kementerian kerajaan yang mereka siasat dua atau tiga bulan kemudian untuk melihat perkembangan yang telah dicapai sejak laporan dan cadangan itu diterbitkan.

Kata Wong, ia memberi sedikit kesan kepada PAC kerana agensi kerajaan yang berkaitan akan mencatatkan laporan perkembangan dan diterbitkan oleh jawatankuasa itu.

Akhir sekali, laporan PAC kadangkala boleh menarik minat dan tekanan awam untuk pembaharuan. Walau bagaimanapun, Wong mengakui bahawa tidak setiap topik menarik minat orang ramai.

“Tidak setiap laporan PAC akan membawa kepada reaksi besar seperti yang baru-baru ini untuk LCS.

“Dalam tempoh singkat dua hingga tiga minggu selepas membentangkan laporan LCS pada 4 Ogos, bilangan pelawat ke laman web kami telah melebihi jumlah pelawat sepanjang 2021,” katanya.

Apa yang telah berubah dengan PAC?

Salah satu perubahan paling ketara kepada PAC sejak Wong mengambil alih jawatan pengerusi pada 2020 ialah semua laporan dan transkrip yang dihasilkan oleh jawatankuasa selepas Disember 2021 menjadi benar-benar digital dan dengan itu boleh dibaca menggunakan peranti.

Sebelum perubahan ini, semua salinan dalam talian laporan dan transkrip PAC adalah imbasan yang tidak boleh dicari, menjadikan kajian dokumen tebal itu satu proses yang sukar.

Menurut Wong, PAC hanya memulakan pendigitalan secara bersungguh-sungguh pada tahun lepas. Kebanyakan dokumen untuk siasatan kini semuanya dihoskan pada pelayan dan boleh diakses oleh ahli PAC pada bila-bila masa.

“Daripada dokumen yang sangat tebal di atas meja kami, semuanya kini didigitalkan. Kurang kertas, lebih sedikit fail,” katanya.

Wong menambah bahawa sejak 2018, PAC menambah proses "pengesahan" pada laporan mereka. Ini adalah untuk memastikan bahawa versi cetakan terakhir akan dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli PAC.

Proses tambahan ini, kata Wong, adalah untuk mengelak berulangnya insiden pada 2016 di mana pengerusi PAC ketika itu Hasan Arifin mengaku telah memadamkan ayat dalam laporan jawatankuasa berkenaan 1MDB tanpa kelulusan ahli lain.

"Dengan prosedur pengesahan tambahan kami, apa yang dicetak akan 100 peratus sama dengan laporan yang telah dimuktamadkan oleh jawatankuasa itu," kata Wong.

[Baca laporan asal]