Skip to main
Logo Malaysiakini

BN Kedah: Tiada arahan genjatan senjata terhadap PAS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno dan BN Kedah tidak menerima sebarang arahan "gencatan senjata" terhadap Perikatan Nasional (PN) dan PAS.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Komunikasi BN Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, gabungan itu akan meneruskan gerak kerja mereka seperti biasa.

"Umno dan BN akan buktikan bahawa kami adalah Kerajaan menunggu “government In the waiting” untuk negeri Kedah yang menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat dan pada masa yang sama mampu “memeta” perancangan baru untuk negeri

"(BN Kedah akan) Menamatkan segala kekusutan, permasalahan, dan onar yang sedang dibuat oleh kerajaan PAS Kedah, terutamanya permasalahan air, ekonomi “kewayangan” dan agenda kerajaan negeri yang kabur," katanya.

Shaiful berkata, BN Kedah juga optimis untuk menamatkan era kerajaan “katak” yang tidak berprinsip dan bermaruah.

"Kerajaan yang bakal dibentuk oleh Umno dan BN nanti bakal memberi “tawaran baru” kepada rakyat negeri Kedah melalui “Agenda Baru Kedah” meliputi semua aspek," katanya.

Shaiful mengulas laporan Malaysiakini dua hari lalu yang memetik sumber bahawa Umno mengarahkan tentera sibernya berhenti seketika daripada menyerang PAS.

Ini susulan pertemuan antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 17 Sept.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah keputusan pertemuan itu.

Terdapat spekulasi bahawa pimpinan PAS kini sedang memikirkan hala tuju Muafakat Nasional bersama dengan Umno.