Skip to main
Logo Malaysiakini

Khalid: Naratif 'derita 22 bulan' modal basi Umno, PAS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad membidas “modal basi” oleh Umno dan PAS bahawa rakyat menderita sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara, di saat PRU15 yang dikatakan semakin hampir,

Sebaliknya, Khalid berpandangan naratif penderitaan itu hanya dirasai oleh Umno, sementara pentadbiran PAS di Kelantan turut meraih manfaat ketika itu.

“Bagi Umno, 'derita 22 bulan' bermakna pemimpin mereka tidak lagi boleh sakau duit rakyat dan negara kerana tidak lagi menjadi kerajaan, seperti yang berlaku dalam kes 1MDB.

“Sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, memang Umno amat menderita kerana tanpa kuasa kerajaan, tiada lagi sumber kewangan untuk diagih-agihkan kepada kroni mereka melalui pemberian kontrak dan projek," katanya dalam hantaran di Facebook.

Berkenaan PAS pula, Khalid berkata parti itu tidak perlu berlakon turut terkesan dengan 'derita 22 bulan' kerana semasa pentadbiran PH, Kelantan menerima peruntukan RM400 juta daripada kerajaan pusat.

Tidak menafikan kelemahan pentadbiran PH, Khalid mendakwa kerajaan pada masa itu "terpaksa mencuci najis" yang ditinggalkan BN, antaranya masalah dalam Tabung Haji dan skandal 1MDB.

"Sebelum dijatuhkan melalui pengkhianatan Langkah Sheraton, PH telah melaksanakan sebahagian besar manifesto yang dijanjikan dalam PRU yang lalu.

“Tatkala rakyat boleh menerima kesan perubahan positif di bawah pentadbiran PH, rakyat juga perlu faham bahawa naratif 'derita 22 bulan' hanya terkesan kepada Umno dan PAS,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut mempersoalkan jika keadaan negara menjadi bertambah baik selepas PAS dan Umno menjadi sebahagian daripada kerajaan secara "pintu belakang".

“Apa yang PAS lakukan hanyalah 'mencuci kaki' sahaja dengan mengaut kejayaan hasil pentadbiran cekap PH seperti yang berlaku pada Tabung Haji," katanya lagi.

Dia mengingatkan kedua-dua parti itu agar tidak menjadi munafik dengan berpolitik secara prejudis yang jahat dan tidak berasas.

“Sekarang, Umno bermain drama air mata dan berlagak sebagai juara rakyat kononnya untuk membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara walaupun Umno juga yang menjadi juara isu-isu perkauman dan agama.

“Hukuman penjara terhadap bekas perdana menteri Najib Razak membuktikan bahawa memang wujud jenayah salah guna kuasa dan rasuah," katanya lagi.