Skip to main
Logo Malaysiakini

Indonesia, Malaysia bekerjasama perangi jenayah rentas sempadan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam memerangi jenayah rentas sempadan terutama membabitkan pemerdagangan manusia melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara kedua-dua negara.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata MOU antara itu akan dilaksanakan bagi memerangi pelbagai jenayah rentas sempadan termasuk semua jenis pemerdagangan manusia yang merupakan isu serius melibatkan kedua-dua negara.

“Pada pandangan saya, kita boleh lebih berjaya jika kita ada pengaturan teknikal dalam memerangi pemerdagangan manusia.

“MOU itu akan meliputi semua jenayah yang disenaraikan sebagai jenayah rentas sempadan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah dan inisiatif ini diketuai oleh Polis Negara Indonesia.

“Kami telah memuktamadkan hampir 80 peratus rundingan dan jenayah yang akan ditangani termasuk pengedaran dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, pengubahan wang haram, pengedaran senjata api, barangan tiruan, hidupan liar dan beberapa aspek jenayah siber,” katanya kepada Malaysiakini.

Hermono (di atas) menjelaskan bahawa Indonesia dan Malaysia melihat pemerdagangan manusia sebagai aktiviti jenayah rentas sempadan yang memerlukan kerjasama antara kedua-dua negara dan ia juga meliputi langkah pencegahan, kempen kesedaran awam dan penguatkuasaan.

Hermono mengulas jaminan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada 29 Sept lalu bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam menyelesaikan isu pemerdagangan manusia membabitkan rakyat Malaysia ke negara Asean.

Sambil menyeru kerajaan Malaysia turut menangani isu pemerdagangan dan penyeludupan ke negara ini dengan bersungguh-sungguh, Hermono berkata: “Tiada satu negara pun boleh melakukannya sendirian.”

Indonesia akan menduduki kerusi pengerusi Asean tahun depan. Dalam menerajui G20 tahun ini, Indonesia berhasrat menyampaikan mesej untuk pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19 kepada Asean tahun hadapan.

Tinjauan Migrasi Asean 2022 mendapati wabak Covid-19 meningkatkan bilangan individu yang berisiko menjadi mangsa pemerdangan manusia di rantau ini disebabkan peningkatan kadar kemiskinan, penurunan peluang ekonomi dan perlindungan buruh yang terhad.

Awal bulan lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Hishamuddin Hashim, bersama kumpulan sokongan dan ahli keluarga mangsa, menggesa Kementerian Luar mengemukakan tindakan "luar biasa" daripada Asean dalam menangani penipuan pekerjaan.

[Baca berita penuh]