Skip to main
Logo Malaysiakini

'PH tolak PRU segera, tapi giat kempen seolah-olah mengundi esok'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera tetapi dalam masa sama giat berkempen seolah-olah PRU akan diadakan esok, kata seorang pemimpin MCA.

Ahli Jawatankuasa MCA pusat, Lau Chin Kok berkata, kebanyakan pemimpin PH menyebarkan propaganda bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat kerana mahu mengadakan PRU semasa musim banjir.

"Malah, terdapat juga segelintir pemimpin pembangkang yang mengheret rakyat turun ke jalan raya untuk mengadakan protes, juga menggunakan naratif sama - kononnya kerajaan tidak prihatin dengan keselamatan rakyat.

"Namun, apa yang menghairankan, kebanyakan pemimpin PH dilihat aktif dengan aktiviti kempen politik seperti Jelajah Trak Ayuh Malaysia dan kempen-kempen politik di media sosial," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini Umno yang diketuai presidennya, Ahmad Zahid Hamidi mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar segera membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 dalam masa terdekat.

Malah Ahmad Zahid juga menyatakan kesediaan BN untuk mengharungi banjir ketika berkempen.

Cadangan itu menerima kritikan keras daripada pimpinan PH, termasuk daripada timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli yang melancarkan petisyen bagi membantah PRU diadakan tahun ini.

Untuk rekod, PKR kini mengadakan siri ceramah sebagai sebahagian daripada kempen Ayuh Malaysia.

Sementara itu Lau berkata setiap hari pasti ada laporan mengenai persiapan PRU15 oleh pihak pembangkang terutamanya perbincangan mengenai agihan kerusi, logo yang akan digunakan, calon perdana menteri dan janji-janji dalam manifesto pilihan raya.

"Jelas di sini bahawa PH 'bijak' dengan strategi politiknya iaitu menyalahkan kerajaan yang kononnya tidak menghiraukan kepentingan rakyat (walaupun parlimen belum dibubarkan, SPR belum tentukan tarikh PRU ke-15), dan dalam masa sama giat berkempen meraih sokongan seolah-olah esok hari buang undi,” katanya.

Tambahnya, PH juga dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk ‘menutup memori’ pengundi susulan kegagalannya selama menjadi kerajaan pada tahun 2018..

"Walaupun sudah diberikan kepercayaan dan mandat rakyat pada PRU14 lalu, namun PH gagal memberikan prestasi yang baik kepada rakyat, malah pemerintahan PH menjadikan Malaysia melalui zaman gelap selama 22 bulan," ujarnya.