Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada lagi penjualan aset untuk bayar hutang 1MDB selepas 2018

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Sejak 2018 tiada lagi penjualan aset dibuat oleh Putrajaya bagi membayar hutang yang dibuat 1MDB, kata pegawai kanan kerajaan.

Ketua Setiausaha Perbendahaan, Asri Hamidon, memberitahu perkara itu kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dalam prosiding badan terbabit pada 27 Julai lalu.

“Tiada lagi penjualan aset kerajaan untuk membayar sebarang kupon berkaitan 1MDB,” kata Asri yang dipetik berdasarkan kepada transkrip prosiding berkenaan.

Sebaliknya, kata Asri, pembayaran hutang 1MDB kini dilakukan secara telus melalui Kumpulan Wang Disatukan.

Prosiding itu diadakan untuk memastikan tindakan susulan yang diambil oleh Kementerian Kewangan atas cadangan PAC mengenai perolehan tanah "Lot 41" Bank Negara.

Menurut laporan PAC mengenai perolehan tersebut langkah pengawasan yang sewajarnya untuk pembelian tanah telah diperkasakan.

Bank Negara, kata laporan tersebut, akan mendapat penilaian tanah daripada sekurang-kurangnya dua penilai dan akan melalui beberapa jawatankuasa dan keputusan tidak dilakukan oleh satu orang sahaja.

"PAC juga dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, selepas pertukaran kerajaan pada 2018, semua pembayaran bagi tujuan pelan rasionalisasi 1MDB adalah telus.

"Tidak ada lagi penjualan harta kerajaan bagi tujuan pembayaran balik hutang berkaitan 1MDB," kata laporan tersebut.

Untuk rekod Bank Negara memperoleh tanah Lot 41 pada harga RM2.07 bilion pada Dis 2017 dan siasatan PAC mendapati pembelian tersebut dibuat secara tergesa-gesa untuk memperoleh premium 46 peratus.

PAC juga membuat kesimpulan, dana hasil daripada penjualan itu digunakan kerajaan untuk pembayaran pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Dis 2017.

PAC menerbitkan laporannya mengenai pengambilalihan itu pada Dis 2021. Ketika itu, PAC melaporkan bahawa tiada kerja-kerja baru dilakukan di atas tanah itu.

Pada Jan 2018, Bank Negara mengumumkan ia telah memperoleh tanah seluas 55 ekar untuk Universiti Kewangan Islam Global dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam.

Butiran pemerolehan Lot 41 oleh Bank Negara hanya terbongkar selepas kerajaan Pakatan Harapan dibentuk pada Mei 2018.

[Baca berita asal]