Skip to main
Logo Malaysiakini

'Penjara tak ada nilai jika Najib bebas sekali-sekala'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas bekas perdana menteri Najib Razak dilaporkan berusaha untuk hadir parlimen meskipun sedang menjalani hukuman penjara, seorang bekas Adun mengingatkan bahawa ia boleh melemahkan ‘nilai pencegahan’ hukuman penjara terhadap ahli politik.

Bekas Adun Kota Alam Shah M Manoharan berkata "kebebasan sekali-sekala” seperti itu juga akan meletakkan Najib melangkaui undang-undang berbanding banduan lain, yang kebanyakannya tidak dibenarkan menghadiri pengebumian ahli keluarga terdekat dan kecemasan lain.

“Tiada sesiapa yang sepatutnya melangkaui undang-undang. Prinsip 'pencegahan' di bawah hukuman oleh mahkamah mungkin tidak berfungsi untuk ahli politik jika Najib diberikan 'kebebasan sekali-sekala'.

“Salah satu prinsip menjatuhkan hukuman ialah 'pencegahan'; satu lagi ialah pemulihan.

"Kebebasan sekali-sekala adalah berbahaya kepada prinsip undang-undang yang ditetapkan," katanya yang juga merupakan peguam dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, peguam Najib, Shafee Abdullah berkata pasukannya telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin untuk merayu terhadap keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkan ahli parlimen Pekan itu menghadiri prosiding parlimen, yang disambung semula hari ini.

Dia berkata pembantu politik Najib juga tidak dapat melawatnya di penjara, yang bermakna Najib tidak dapat berkhidmat kepada pengundinya.

“Sesekali, dia sebagai ahli parlimen perlu dibenarkan diiringi (oleh pihak penjara) ke kawasannya untuk mendengar rungutan penduduk di sana dan bercakap dengan pembantunya sama ada terdapat sebarang masalah (di kawasan Pekan),” katanya.

Sekiranya tiada jawapan yang menggalakkan diterima menjelang tengah hari esok, Shafee berkata pasukannya akan memfailkan semakan kehakiman bagi membolehkan Najib melaksanakan tugas parlimennya.

Bagaimanapun, Manoharan mengingatkan bahawa dia sendiri tidak dapat melaksanakan tugasnya sebagai Adun ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

ISA adalah undang-undang yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan. Manoharan ditahan di bawah ISA dari Disember 2007 hingga Mei 2009.

Undang-undang itu sejak itu telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Manoharan memenangi kerusi DUN Kota Alam Shah semasa pilihan raya umum 2008, ketika masih ditahan di bawah ISA di Pusat Tahanan Kamunting di Perak.

Walaupun banyak rayuan dia dan isterinya S Pushpaneela, Manoharan berkata dia tidak dibenarkan menghadiri persidangan DUN dan isterinya perlu menjaga pengundinya semasa ketiadaannya.

“Saya hanya seorang tahanan politik dan bukan individu yang korup. Saya mengangkat sumpah di Kem Tahanan Kamunting.

“Saya tidak dibenarkan mengangkat sumpah sebagai Adun (di DUN Selangor) pun,” katanya.