Banjir atau tidak, PRU15 boleh terus - Sharkar
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Sharkar Shamsudin berpendapat sama ada berlaku banjir atau tidak hujung tahun ini, pilihan raya umum ke-15 (PRU15) boleh diteruskan.
Katanya, kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad pernah mengadakan pilihan raya umum pada bulan November pada tahun 1999 dan ketika itu tidak berlaku banjir.
“Kadang-kadang kalau kita buat PRU bulan Ogos pun, mungkin ada banjir juga, jadi kita tak tahu, mungkin banjir di sini tetapi mungkin tidak banjir di Pulau Pinang, mungkin di Perak tak banjir.
“Banjir ini bergantung kepada Monsun Timur Laut, Barat Daya, kalau bulan November-Disember melibatkan Pantai Timur tetapi di Pantai Barat belum tentu banjir lagi.
“Kita tak tahu lagi, ada yang kata banjir, ada yang kata tak banjir, jadi banyak pandanganlah, banyak pendapat, dulu dia cakap tak banjir tapi banjir, ada sekali dia cakap banjir besar tapi tak banjir, ini semua ramalan,” katanya ketika ditemui di Temerloh, Pahang, semalam.
Mohd Sharkar yang juga Ketua Umno Bahagian Temerloh berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRU15 sebelum hujung tahun ini.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan ketika membaca kenyataan media selepas mesyuarat MKT pada 30 Sept lalu berkata, PRU15 perlu diadakan tahun ini dan ketetapan itu dipersetujui hasil mesyuarat dihadiri semua pemimpin utama parti itu.
Ahmad berkata susulan keputusan itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya lagi, Umno percaya hanya dengan mengembalikan hak memilih kepada rakyat maka mandat sebenar dapat diperoleh dan kerajaan stabil dapat dibentuk.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada Ahad mengingatkan 38 ahli parlimen Umno tidak boleh memaksa Ismail untuk mengadakan PRU15.
Kata Anwar, Ismail masih mempunyai majoriti sokongan anggota Dewan Rakyat dan mampu membuat keputusan akhir berkaitan tarikh sebenar pilihan raya umum.
Diminta mengulas lanjut mengenai pendirian MKT Umno itu, Mohd Sharkar memberitahu, dia menyerahkan kepada pucuk pimpinan yang sudah membuat keputusan berhubung perkara terbabit.
“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menentukan, sama ada kita nak ‘election’ atau tak ‘election’ dan kalau nak ‘election’ kita sentiasa bersedia,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai