Skip to main
Logo Malaysiakini

PAC: Kerajaan 'tersangkut' kerana CSR pada MySejahtera

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Putrajaya "tersangkut" dengan bil RM196 juta untuk aplikasi telefon pintar MySejahtera walaupun ia dimulakan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), pada awalnya vendor MySejahtera, KPISoft Sdn Bhd (KPISoft), diberi skop terhad untuk membina aplikasi yang mengandungi ciri-ciri untuk pemantauan kendiri, pengesanan kenalan dan maklumat individu.

Khairy menjelaskan ketika wabak Covid-19 melanda, ciri baru perlu ditambah pada MySejahtera, melibatkan 300 binaan bahagian belakang (back-end) dan 53 binaan mudah alih dalam tempoh dua tahun.

"Kami tidak ada masa untuk membuat tender terbuka bagi permohonan baru. Kami sudah tersangkut (stuck) dengan MySejahtera oleh kerana CSR.

"Hal itu adalah sesuatu yang anda perlu tanya Majlis Keselamatan Negara. Kami ada CSR (tapi) saya tidak tahu apa niatnya, tetapi ia sudah ada," kata Khairy dalam laporan dikeluarkan PAC.

MySejahtera dilancarkan kerajaan pada April 2020 sebagai aplikasi pengesanan kontak semasa peringkat awal pandemik bagi mengenal pasti dan mengasingkan mereka yang dijangkiti Covid-19.

Pada masa itu, Menteri Kesihatan ialah Dr Adham Baba dan dia juga menjadi ahli Majlis Keselamatan Negara iaitu sebuah pihak berkuasa yang memutuskan kebanyakan protokol Covid-19.

Khairy Jamaluddin

Selepas itu, kerajaan menggunakan MySejahtera untuk pelantikan dan rekod vaksinasi Covid-19. Ia juga diwajibkan ke atas semua pengguna untuk mendaftar masuk di sesebuah premis.

Khairy hanya menjadi Menteri Kesihatan pada Ogos 2021. Pada masa itu, kerajaan telah pun memberi komitmen untuk membayar KPISoft - pada masa itu dikenali sebagai Entomo - sebanyak RM196 juta dari 1 April 2021 hingga akhir 2023 untuk mengendalikan aplikasi tersebut.

MySejahtera mendapat perhatian awal tahun ini apabila beberapa syarikat menyaman MySJ Sdn Bhd iaitu syarikat yang "membeli" aplikasi MySejahtera daripada KPISoft.

Ia membawa kepada kebimbangan terhadap data MySejahtera - dilaporkan melibatkan 38 juta pengguna - berisiko dijadikan bahan komoditi dan melanggar privasi.

Berdasarkan siasatan, PAC membuat kesimpulan bahawa tidak ada minit atau dokumen yang biasanya disediakan sebelum sesuatu vendor dilantik.

"Saksi-saksi tidak dapat menjawab dengan jelas siapa sebenarnya yang meluluskan pelantikan KPISoft dan dalam mesyuarat mana pelantikan tersebut dimuktamadkan," kata PAC.

Mahu komersialkan data pengguna

Satu-satunya dokumen yang boleh mengikat kerajaan dengan KPISoft ialah perjanjian tanpa pendedahan (NDA) yang ditandatangani pada 1 April 2020 iaitu tiga minggu sebelum aplikasi MySejahtera dilancarkan.

Antara klausa utama lain dalam NDA itu ialah kerajaan mempunyai hak penuh dan eksklusif terhadap semua data yang dikumpul melalui aplikasi MySejahtera.

Pada 31 Mac 2021 kabinet memutuskan untuk mengambil hak pemilikan aplikasi MySejahtera serta memulakan percubaan untuk merundingkan perjanjian dengan pemiliknya ketika itu, MySJ Sdn Bhd (MySJ).

Kementerian Kewangan akhirnya memberikan lampu hijau pada Feb tahun ini.

PAC berkata pemaju MySejahtera berjaya mendapatkan kontrak kerajaan yang besar tanpa terlebih dahulu melalui proses pemerolehan biasa dengan mengemukakan inisiatif "CSR".

Menurut PAC, mereka diberitahu bahawa KPISoft menubuhkan MySJ sebagai syarikat tujuan khas (SPV) menjelang akhir tempoh "CSR" berkenaan.

Menurut keterangan Penolong Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Siber Negara, Shariffah Rashidah Syed Othman, cadangan KPISoft termasuk "penyediaan perkhidmatan eksklusif MySejahtera dan tiga komponen komersial baru" untuk aplikasi itu.

Pada 10 Nov 2020 KPISoft menulis kepada MKN untuk mencadangkan agar mereka diizin mengkomersialkan MySejahtera dan sebagai imbalan, kerajaan boleh terus menggunakan aplikasi berkenaan tanpa sebarang bayaran.

Antara lain, KPISoft menjanjikan MySejahtera sebagai "penjagaan kesihatan digital", "perdagangan digital" dan "pembayaran digital".

Khairy memberitahu PAC, cadangan itu ditolak oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu), serta Kementerian Kesihatan dan Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

"Pada awalnya mereka hendak ambil data dan mereka hendak komersialkan data tersebut supaya dapat dibayar semua perkhidmatan mereka tetapi KKM, Mampu, Mosti dapati ini adalah data sensitif berkenaan dengan rakyat dan tidak boleh dikomersialkan, maka cadangan berkenaan berakhir di situ saja," kata Khairy.

PAC dalam laporannya berkata cadangan oleh KPISoft itu menunjukkan bahawa data yang dikumpul oleh MySejahtera adalah sangat berharga.

"Keputusan kerajaan menolak cadangan tersebut adalah wajar demi memastikan keselamatan data peribadi pengguna aplikasi dilindungi," kata PAC.

[Baca berita asal]