Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Najib buka akaun supaya terima sumbangan Arab AS$100 juta’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BICARA 1MDB l Seorang bekas Pengarah Ambank memberi keterangan bahawa perdana menteri ketika itu Najib Razak mahu membuka akaun untuk menerima derma AS$100 juta daripada Arab Saudi.

Cheah Tek Kuang berkata dia diberitahu demikian ketika bertemu Najib pada Januari 2011 di rumahnya di Kenny Hill, Bukit Tunku.

Saksi pendakwaan ke-39 dalam perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan dana RM2.28 bilion terhadap Najib memberi keterangan bahawa dia (Cheah) bertemu tertuduh untuk mendapatkan tandatangannya bagi membuka akaun semasa dengan nombor berakhir 694.

“Najib telah mengambil dokumen (borang pembukaan akaun) untuk menandatangani borang itu. Dia juga ada memaklumkan saya bahawa akan ada deposit dari Arab Saudi. Jumlah wang yang besar iaitu AS$100 juta.

“Saya tidak tahu tujuan wang itu ditberi, tetapi dia sendiri berkata dana tersebut adalah sumbangan kerajaan Saudi untuk aktiviti Islam. Ini saya dengar sendiri apabila dimaklumkan kepada saya secara lisan oleh Najib,” kata Cheah, 75, kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.

Collin Lawrence Sequerah

Bekas jurubank itu berkata selepas lima minit, dia pulang kerana Najib agak sibuk, dan akaun dengan nombor berakhir 694 itu kemudiannya dibuka di cawangan Jalan Raja Chulan bank tersebut pada 13 Jan 2011.

Semasa pemeriksaan utama, Cheah berkata kira-kira seminggu kemudian selepas bertemu Najib, pengurus perhubungan perdana menteri ketika itu Joanna Yu memberikannya sesalinan surat - kononnya daripada Saud Abdulaziz Majid Al-Saud bertarikh 1 Feb 2011 - yang didakwa mengesahkan bahawa kerajaan Saudi akan memasukkan AS$100 juta ke dalam akaun itu.

Saksi itu berkata, dia tidak pasti dari mana Yu mendapat dokumen itu dan tidak bertanya lebih lanjut mengenainya.

Cheah berkata kemudiannya, dia berjumpa dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika itu Zeti Akhtar Aziz mengenai pembukaan akaun oleh Najib serta mengenai wang AS$100 juta yang masuk.

Saksi itu berkata pertemuan itu adalah rahsia antara dirinya dan Zeti kerana ia melibatkan kepentingan perdana menteri ketika itu dan "individu yang terdedah kepada politik". Zeti ketika itu berkata perkara berkenaan harus dijalankan mengikut undang-undang perbankan sedia ada.

Cheah berkata selepas pertemuan dengan Zeti, dia telah menyerahkan dokumen bank yang diperlukan kepada Yu dan Ross Foden - orang yang menguruskan bahagian operasi bank itu.

Zeti Akhtar Aziz

Dia berkata Foden dan pasukannya telah mencadangkan supaya akaun Najib diberi nama kod khas kerana ia adalah akaun sensitif dan bagi mengelakkan kebocoran maklumat.

Bank tidak sembunyikan maklumat

Cheah berkata dia bersetuju dengan cadangan supaya akaun 694 Najib diberi nama kod AmPrivate Banking-MR, dan Zeti kemudiannya dimaklumkan mengenainya melalui surat bertarikh 9 Feb 2011.

Dia berkata ini bagi membolehkan BNM menjalankan pemantauan melalui Sistem Pemantauan Operasi Ringgit (ROMS), sambil menambah bahawa dirinya sebagai pengarah urusan AmBank ketika itu telah mengambil langkah untuk memaklumkan kepada bank pusat dan menafikan bahawa bank itu terlibat dalam menyembunyikan sebarang maklumat daripada BNM.

Cheah berkata selepas ini, dia tidak lagi terlibat dengan akaun Najib dan pada 1 April 2012, kontraknya dengan bank itu tamat dan Ashok Ramamurthy mengambil alih daripadanya.

Prosiding akan disambung pagi esok.

Cheah sebelum ini memberi keterangan yang serupa semasa perbicaraan rasuah SRC International RM42 juta yang berasingan terhadap Najib.

Pada 2016, peguam negara ketika itu Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam urusan 1MDB, dengan mendakwa Najib menerima derma AS$681 juta (RM2.08 bilion) daripada kerabat Arab Saudi dan telah memulangkan AS$620 juta.

Mohamed Apandi Ali

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa, ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Dalam kenyataan pembukaan,, timbalan ketua pendakwa raya Gopal Sri Rampada permulaan perbicaraan pada 28 Ogos 2019 berhujah bahawa jenayah itu didakwa dilakukan melalui empat fasa bermula dari 2011 hingga 2014.

[Baca berita penuh]