Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak wajar peniaga remehkan baki syiling

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walaupun isu kekurangan wang syiling sering terjadi, namun lazimnya sesetengah peniaga dilihat gagal mengambil inisiatif sepatutnya bagi mengatasi masalah tersebut.

Bagi orang tertentu mungkin mereka tidak berkira apabila baki yang sepatutnya diserahkan kembali oleh peniaga tidak mencukupi, namun sebaliknya ada individu yang berasa ia tidak boleh dipandang remeh.

Isu kekurangan syiling itu menimbulkan polemik sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

Malaysiakini membuat tinjauan untuk melihat reaksi orang ramai mengenai isu itu dan sejauh mana ia patut dititikberatkan.

Menurut Rahim Ismail, 64, ketiadaan baki - misalnya 5 sen - daripada peniaga tidak sepatutnya menjadi isu sekiranya kedua-dua belah pihak saling bersetuju untuk menganggap ia sebagai 'dihalalkan'.

“Ada akad, aku terima dan aku jual. Jadi dalam Islam macam tu kalau terima akad dan setuju, cukuplah begitu," katanya.

Hal itu kerana, tambah Rahim, sesetengah peniaga kadangkala memang benar-benar tidak memiliki syiling untuk dipulangkan kepada pelanggan.

Pelajar yang mahu dikenali sebagai Zarifah, 22, pula menganggap sebagai pelanggan, seseorang itu seharusnya mempertahankan hak walaupun baki yang itu sekecil 5 sen.

“Duit itu masih hak pelanggan, jadi sepatutnya pelanggan dapat balik haknya. Bukan menjadi kesalahan jika seseorang pelanggan mempertahankan hak sendiri,” katanya.

Seorang lagi pengguna yang hanya ingin dikenali sebagai Fadzilah, 64, berpendapat bagi sesetengah orang, setiap sen yang ada padanya mungkin sangat berharga.

Katanya peniaga tidak boleh memandang remeh sebarang baki pelanggan. Justeru tambah Fadzilah, peniaga perlu bersedia dengan syiling secukupnya.

“Mana-mana kaunter pun biasanya akan disediakan wang yang tertentu. Misalnya 10 sen, 20 sen, RM1 atau RM5.

“Kenapa 5 sen itu tak disediakan?” katanya.

Bagi Wan Norman Wan Zain, 43, dia berpendapat kebanyakan orang memang tidak mengambil endah isu baki 5 sen dan bersedia menghalalkannya saja.

Wan Norman Wan Zain

“Kadang-kadang 50 sen pun orang halalkan. Kalau saya misalnya, sebagai pengguna, kalau peniaga tu memang tak ada syiling, 50 sen pun saya halalkan," katanya.

Pun begitu sebagai peniaga, kata Wan Norman, mereka juga perlu memikirkan aspek keberkatan semasa mencari rezeki.

Oleh kerana itu, katanya, peniaga perlu jujur kepada diri sendiri dan pelanggan walaupun diyakini kebanyakan pelanggan tidak berkira sangat dengan wang baki kecil.

Seorang pengguna yang ditemui di KL Sentral dan mahu dikenali sebagai Rizal, 44, berpandangan keadaan ini umpama peniaga menipu pelanggan dan seharusnya diganti dengan sesuatu dengan nilai yang sama.

“Dikira sebagai menipu, dan tak patut. Kena pulangkanlah.

“Pada pandangan saya, sekurang-kurangnya yang ganti 5 sen tu macam coklat idea yang bagus,” katanya.

Berniaga sambil lewa

Izzat Syamil Azahar, 26, berpandangan ada cara untuk menyelesaikan atau mengurangkan kerenah baki syiling yang tidak mencukupi.

Menurut jurutera itu, peniaga boleh menyesuaikan harga barangan yang dijual agar tidak menyukarkan kedua-dua pihak semasa berjual beli.

“Kalau tidak mahu menyediakan 5 sen di kaunter pun, mereka patut ubah harga barangam misalnya dari 95 sen menjadi RM1.

“Mungkin tidak memulangkan baki dalam jumlah yang kecil itu tidak boleh dianggap menipu, tapi ia juga secara tidak langsung menunjukkan kelemahan peniaga yang beroperasi secara sambil lewa.

"Mereka perlu faham wang pelanggan adalah tetap wang pelanggan dan peniaga perlu melakukan sesuatu untuk memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

Sementara itu, kakitangan sebuah bank, Najihah Abdullah Suhaimi, 24, menganggap situasi tersebut mampu menjejaskan imej dan identiti peniaga.

Najihah Abdullah Suhaimi (kiri) dan Fatimah Mohd Sakri

“Seharusnya setiap syarikat lebih cakna terhadap isu-isu kewangan macam ni supaya tak berlaku lagi,” ujarnya.

Rakannya, Fatimah Mohd Sakri, 23, berkata biasanya dia tidak berkira sangat dengan peniaga jika mereka memang benar-benar tidak memiliki syiling yang mencukupi.

“Kalau ada baki 50 sen atau 5 sen yang tak dapat dipulangkan, saya anggap sedekah saja,” katanya yang juga pekerja bank.