Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Kalau ada simpan RM9,000, takkan anak saya pergi cari kerja di Kemboja’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ibu mangsa sindiket tawaran pekerjaan dalam talian meminta Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah campur tangan untuk membawa balik anaknya Kam Weng Jun yang berada di Kedutaan Malaysia di Kemboja.

Wanita 40 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata anaknya kini berada di kedutaan itu sejak 23 September selepas melarikan diri daripada sarang sindiket.

"Anak saya ke Kemboja pada 2 Jun tahun ini. Setelah sampai di situ dia menghubungi saya sekali sahaja dan selepas itu dia tidak dapat dihubungi.

"Saya pernah membuat laporan polis di Malaysia pada 5 Jun. Tapi, pada 23 September, dia menghubungi saya memberitahu bahawa telah melarikan diri daripada kumpulan sindiket.

"Selepas melarikan diri, dia terus ke Kedutaan Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.

Dakwanya, kedutaan mengenakan bayaran yang “tidak masuk akal” sebanyak AS$2,076 atau RM9,494 untuk penghantaran pulang itu.

“Kedutaan kena faham, kalau kami ada RM9,000 dalam simpanan, takkan anak saya nak ke Kemboja untuk kerja,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Wisma Putra dan sedang menunggu maklum balasnya.

Sementara itu, sebuah NGO yang mengendalikan kes anak Tan berkata pihaknya kecewa dengan sikap beberapa pegawai di Kedutaan Malaysia di Kemboja.

Indrani Selvakumar

"Baru dua minggu yang lalu, kami membawa pulang seorang mangsa dari Kemboja tanpa bantuan kedutaan Malaysia di sana.

"Kami hanya bayar denda AS$D10 untuk sehari kerana tinggal lebih masa. Harga tiket hanya RM450 sahaja.

“Jadi, kenapa kedutaan kita kenakan bayaran yang lebih tinggi?” soal Setiausaha Pertubuhan Peneraju Insan Indrani Selvakumar.