Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib fail semakan kehakiman untuk kebenaran hadir sidang Parlimen

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun memfailkan tindakan undang-undang untuk dibenarkan menyertai persidangan Dewan Rakyat.

Peguam ahli Parlimen Pekan itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan bahawa semakan kehakiman berkenaan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Ya, kami baru sahaja memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman kira-kira jam 1 tengah hari ini.

“Ia antara lain untuk dua perkara, pertama, untuk Najib mempunyai akses kepada pegawai parlimennya supaya dia boleh menjalankan tugasnya sebagai ahli parlimen, dan kedua, untuk dia menghadiri sidang parlimen pada tarikh yang dijadualkan," kata peguam itu ketika dihubungi.

Muhammad Shafee Abdullah

Isnin lalu, peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberi Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin sehingga jam 12 tengah hari pada hari berkenaan untuk menjawab rayuan mereka agar ahli parlimen BN itu dibenarkan menghadiri sidang Parlimen.

Jika tidak, Shafee berkata mereka akan memfailkan tindakan undang-undang untuk membolehkan Najib berbuat demikian.

Pada taklimat media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, peguam itu mendakwa Jabatan Penjara minggu lalu telah tidak membenarkan permohonan Najib untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat, yang bersidang semula pada Isnin minggu ini.

Shafee mendakwa Ketua Pengarah Penjara (yang tidak disebut namanya) tidak membenarkan Najib menghadiri Dewan Rakyat atas alasan keselamatan.

Peguam itu berkata bahawa isu keselamatan adalah satu alasan "pelik" kerana parlimen adalah bangunan paling selamat jika dibandingkan dengan kompleks mahkamah tempat Najib dibawa untuk menghadiri kes mahkamahnya yang sedang berjalan.

Shafee berkata, pihak penjara tidak membangkitkan isu keselamatan ketika Najib dibawa ke hospital (dipercayai merujuk kepada lawatan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum ini dan kemudian ke Hospital Rehabilitasi Cheras).

Peguam itu mendakwa dia telah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, yang mengesahkan Najib masih ahli parlimen Pekan berikutan dua rayuannya yang sedang diproses.

[Baca berita penuh]