Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Keputusan PH tak bubar DUN kerana ketakutan berdepan BN

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keputusan kepimpinan tiga negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membubarkan dewan undangan negeri (DUN) masing-masing jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat lebih menunjukkan ketidaksediaan pembangkang berdepan pilihan raya umum dan menghadapi BN," kata presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam serangan terbaru ke atas pembangkang, ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata ini adalah jelas membuktikan bahawa rakyat tidak lagi menyokong PH.

"Pengalaman kekalahan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Johor, Sarawak menunjukkan pembangkang tidak lagi diterima oleh pengundi mereka dahulu.

"Semakin ramai pengundi mereka dahulu terasa terperdaya kini kurang mahu mengundi PH.

“Yang jelas mereka yang kecewa mengundi PH dahulu tidak mahu mengundi PH termasuk bekas sekutu mereka, Bersatu," kata Zahid dalam hantaran di Facebook, lewat malam tadi.

Zahid yang juga adalah pengerusi BN mengulas kenyataan Pengerusi PH Anwar Ibrahim bahawa kerajaan negeri yang diterajui PH tidak akan membubarkan DUN masing-masing jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat.

Sebaliknya, Anwar berkata Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan menumpukan perhatian kepada usaha membantu rakyat yang berdepan dengan kemungkinan banjir semasa musim tengkujuh nanti.

'Alasan basi'

Zahid juga membidas keputusan PH itu yang sebelum ini mengadu bahawa pilihan raya negeri berasingan akan menelan perbelanjaan yang lebih besar buat negara.

"Pembangkang asyik menyatakan kos pilihan raya sangat besar sedangkan tindakan mereka tidak mahu bubar DUN merupakan pembaziran kos dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan.

"Kali ini pembangkang gunakan isu musim tengkujuh pula untuk alasan elak pilihan raya," katanya.

Bagi Zahid, alasan itu ‘basi’ dan menyerlahkan ketidakberanian pembangkang berdepan BN.

Dia juga mendakwa alasan PH tidak mengadakan PRU15 memperkecilkan pengalaman dan profesionalisme agensi kerajaan yang berurusan dengan kesihatan, keselamatan dan bencana alam.

"Kesemua alasan pembangkang adalah untuk menutupi kehilangan sokongan rakyat yang sedang berlaku.

"Sebenarnya PH dan pembangkang dihantui oleh janji-janji pilihan raya yang tinggal janji kosong.

“Pengundi kini tidak lagi terpesona dengan cakap dan janji PH apabila pemimpin mereka berkempen sekarang ini. Tidak lagi seperti PRU 2018," katanya.