Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan guna RM1.5b dana pembangunan bayar pinjaman SRC

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan persekutuan menggunakan lebih RM1.5 bilion daripada peruntukan pembangunan untuk membayar pinjaman SRC International dengan Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP).

Menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi 2021, syarikat itu juga masih berhutang dengan kerajaan sebanyak RM597.55 juta lagi dalam bentuk pinjaman langsung.

"SRC International Sdn Bhd telah mengambil pinjaman jaminan kerajaan daripada KWAP sebanyak RM2 bilion masing-masing pada 2011 dan 2012.

“Pembayaran balik pinjaman bermula pada 2014. Jumlah prinsipal setakat 2021 berjumlah RM0.985 bilion, turun RM1.5 bilion atau 60.4 peratus berbanding 2020 (RM2.485 bilion).

“Pada 2021, kerajaan telah membayar jumlah prinsipal RM1.5 bilion dan faedah RM40.29 juta menggunakan peruntukan pembangunan,” kata laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan kepada Parlimen hari ini. Salinan lembut laporan penuh juga telah disediakan di laman web jabatan itu.

https://lkan.audit.gov.my/laporan/manage/1222

Ia menyatakan bahawa SRC juga hanya berjaya membayar RM3.25 juta, atau 0.5 peratus, daripada sejumlah RM600.8 juta pinjaman yang diambil daripada kerajaan.

Ini bermakna syarikat itu masih berhutang dengan Putrajaya RM597.55 juta.

SRC International ditubuhkan pada 2011 sebagai anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Syarikat itu menjadi tumpuan selepas Perdana Menteri Najib Razak ketika itu terlibat dalam komplot untuk mengubah wang daripada SRC dan 1MDB.

Skandal itu telah menyebabkan Najib disiasat pihak berkuasa selepas kejatuhan kerajaan BN pada 2018, dan menyaksikan dia kemudiannya dikenakan tujuh pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas mendapati dia bersalah atas semua pertuduhan - satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Najib hanya mula menjalani hukuman itu pada 23 Ogos tahun ini, selepas Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.