Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan LCS dipadam: Mindef, BHIC beri kenyataan bertentangan - PAC

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) memberi kenyataan bertentangan berkenaan dakwaan ada perenggan dan carta dalam laporan audit forensik dalaman projek kapal tempur pesisir (LCS) yang dipadam.

"Dalam sesi sebelum ini, BHIC jelaskan mereka menerima laporan forensik (dengan perenggan dan carta) yang sudah dipadamkan dari Kementerian Pertahanan sebelum laporan itu diserahkan kepada PAC.

"Namun semalam apabila Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz hadir (ke pendengaran PAC), dia nyatakan yang Kementerian pertahanan tidak pernah terima laporan berkenaan daripada BHIC, dan tidak terlibat dalam sebarang pemadaman sebahagian laporan forensik itu.

"Dengan itu PAC meminta agar Kementerian Pertahanan mendapatkan penjelasan daripada BHIC dan kemukakan penjelasan kepada PAC berkenaan apa yang sebenarnya berlaku," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

BHIC adalah pemilik Boustead Naval Shipyards (BNS), iaitu kontraktor utama projek LCS.

Prosiding selama dua jam itu diadakan semalam untuk pihak berkaitan memaklumkan kepada PAC mengenai tindakan susulan yang diambil berhubung cadangan dalam laporan PAC berhubung perolehan LCS.

Selain laporan audit forensik oleh BHIC, Wong berkata PAC turut membangkitkan isu sama dalam laporan audit lain oleh Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK).

“PAC berpandangan tidak ada keperluan untuk kerajaan memadamkan beberapa maklumat dalam laporan itu,” katanya.

"Difahamkan ini dilakukan atas nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) di mana nama pemegang saham syarikat, pengarah dan bank yang memberi pinjaman dan kemudahan kewangan kepada syarikat, telah disunting," tambah Wong, yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

"Kami tidak berpuas hati dan tidak menerima penjelasan daripada AGC mengenai alasannya berbuat demikian. PAC menegaskan laporan itu perlu didedahkan sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam syor dalam laporan Jawatankuasa ini dan kabinet harus memberi arahan sedemikian,” katanya.

“Sementara itu, kami dimaklumkan SPRM telah membuka lima kertas siasatan LCS di mana yang pertama dibuka pada Februari 2021, dua pada Januari 2022 di mana satu kes telah didakwa, manakala satu lagi kertas siasatan diserahkan kepada AGC.

“SPRM juga membuka satu setiap kertas siasatan pada Februari dan Ogos, yang masih dalam siasatan,” tambahnya.

Laporan audit oleh JKSTUPKK telah dinyahklasifikasikan pada 10 Ogos, seminggu selepas PAC mengeluarkan penemuannya mengenai skandal LCS.