Skip to main
Logo Malaysiakini

PM jumpa Zahid selepas selesai menghadap Agong

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bertemu dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ismail Sabri tiba di ibu pejabat parti itu di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, sebentar tadi dan sedang mengadakan perbincangan dengan Ahmad Zahid.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan soal pembubaran parlimen selepas perdana menteri selesai menghadap Agong.

Sementara itu sumber Umno memaklumkan pertemuan perdana menteri dengan Ahmad Zahid berlangsung dalam suasana harmoni.

"Ya, perdana menteri sedang bertemu presiden. Dalam suasana harmoni," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu petang tadi perdana menteri tiba di Istana Negara kira-kira 3.49 petang bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pertemuan itu berlangsung selama hampir satu jam sebelum Ismail Sabri dilihat meninggalkan Istana Negara sekitar jam 4.45 petang.

Selepas itu dia dilihat menuju ke ibu pejabat Umno bagi pertemuan lima pemimpin tertinggi Umno.

Malaysiakini melaporkan pertemuan itu tidak membincangkan soal pembubaran Parlimen.

Perkara itu disahkan oleh sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan disokong oleh maklumat yang diperoleh Malaysiakini daripada pihak istana.

‘PM hanya kata sudah dekat’

Mengulas lanjut, sumber Umno memaklumkan bahawa pertemuan Ismail Sabri dengan Ahmad Zahid dan pemimpin Umno lain berlangsung selama 90 minit.

Katanya, perdana menteri memaklumkan isu pembubaran parlimen telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tambahnya, Ismail Sabri yang ditemui selepas pertemuan itu memaklumkan pembubaran parlimen akan berlaku dalam masa terdekat.

"Pertemuan 90 minit, kedua-dua pemimpin nampak gembira tetapi enggan ulas pertanyaan bila bubar.

"Perdana menteri hanya kata sudah dekat," katanya.

Sementara itu sumber kerajaan di Putrajaya memaklumkan bahawa pembentangan Bajet 2023 akan tetap berlangsung esok.

"Pembentangan Bajet 2023 tetap berlangsung esok," katanya kepada Malaysiakini.