Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Tarikh bubar Parlimen tidak dibincangkan’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tarikh pembubaran Dewan Rakyat tidak dibincangkan semasa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Perkara itu disahkan oleh sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan disokong oleh maklumat yang diperoleh Malaysiakini daripada pihak istana.

Ketika ditanya jika tarikh pembubaran dibincangkan dengan Seri Paduka, sumber PMO menjawab ringkas:

"Tak dibincangkan".

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin memberitahu Malaysiakini bahawa majlis menghadap hari ini hanyalah taklimat sebelum mesyuarat kabinet.

“Hari ni cuma (taklimat) prakabinet. Isu-isu prakabinet, mesyuarat mingguan,” katanya ketika dihubungi.

Sambil berkata dia tidak mengetahui setiap perincian perkara yang dibincangkan, Ahmad Fadil juga berkata pihak istana tidak menerima sebarang titah berhubung pembubaran Parlimen.

Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara

“Tuanku tak titah buat apa-apa kenyataan,” katanya sambil menambah ini berkemungkinan bermakna kerajaan akan meneruskan pentadbirannya seperti biasa dan membentangkan Bajet 2023 esok.

Sementara itu, laman Facebook Istana Negara juga memuatkan gambar-gambar pertemuan petang tadi.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat prakabinet di Istana Negara, hari ini.

“Mesyuarat prakabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama YAB Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.”

Ismail Sabri sebelum ini berkata dia akan membincangkan perkara itu dengan Yang di-Pertuan Agong sekiranya sempat.

Umno pada Jumaat lalu memutuskan pilihan raya umum akan datang mesti diadakan tahun ini, dan Ismail Sabri akan memohon perkenaan Seri Paduka untuk membubarkan Dewan Rakyat tidak lama selepas itu.

Spekulasi bertiup kencang bahawa perdana menteri akan membubarkan parlimen sebelum bajet dibentangkan.

Ismail Sabri selaku naib presiden Umno kini dilaporkan di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, dan sedang mengadakan perbincangan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin parti lain.

Dalam pada itu sumber daripada Umno memaklumkan yang pertemuan Ismail Sabri dengan Ahmad Zahid berlangsung dalam suasana harmoni.

Katanya, perdana menteri memaklumkan mengenai pembubaran parlimen yang akan berlaku dalam masa terdekat.

"Perdana menteri telah memohon perkenan untuk pembubaran parlimen yang akan berlaku dalam masa terdekat," katanya kepada Malaysiakini.