Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Demokrasi Saddam dan PRU Iraq

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Wajah tentera yang garang memerhati ketika kami mendekati kawasan mengundi. Kami mencatat dan merakam gambar proses pengundian.

Dari Baghdad ke Kufah, Basra, Babylon dan Shatt al-Arab masih dingin pada awal Jan 1988 ketika Saddam Hussein (1937-2006) cuba menghangatkan suasana dengan demokrasi pimpinannya.

Presiden kelima Iraq itu mengundang beberapa wartawan dari seluruh dunia untuk memerhati proses pengundian peringkat kerajaan tempatan. Ketika itu Iraq terkenal sebagai rejim yang meragut nyawa ribuan manusia.

Demokrasi dan pilihan raya adalah alat terbaik untuk bercerita kepada dunia tentang kebebasan dan hak asasi. Saddam mendakwa Iraq adalah negara contoh demokrasi terbaik ketika dunia menuduh Baghdad membunuh ratusan ribu umat Kurdish di sempadan Iran.

Proses pengundian di Iraq ketika itu amat pelik. Pengundi menandakan kertas undi dan kemudian ia diserahkan kepada petugas berseragam tentera untuk dibawa ke dalam bilik yang berdinding tebal.

Tidak dapat dipastikan ke mana perginya kertas undi itu. Atau adakah ia suatu perwayangan demokrasi yang dilakukan oleh rejim terbabit.

Kami tidak berani bertanya kerana di mana-mana sahaja ada tentera berkawal dengan wajah yang serius. Kereta kebal dan senjata M16 pula sentiasa bersedia. Alasannya, Iraq sedang berperang dengan Iran.

Pada masa sama pemberontak di sempadan sentiasa mencari peluang untuk menuntut hak autonomi.

Tiada soalan dibenarkan

Beberapa kenalan yang sudah lama menetap di Iraq berpesan kepada kami supaya tidak menanyakan hal-hal pengundian kerana ia terlalu sensitif. Abang Long - gelaran yang diberikan rakyat Malaysia untuk Saddam bagi mengelakkan mereka bermasalah di bumi Sinbad itu - berkuasa penuh.

Dia presiden, dia juga ketua revolusi, jeneral tentera dan pengawal kewangan. Dia mempunyai 'mata' dan 'telinga' di mana-mana. Hukuman dan penderaan boleh berlaku pada bila-bila masa jika ada sesuatu yang boleh mengancam proses demokrasi Abang Long.

Izzat Ibrahim (1942 - 2020) adalah orang kanan Saddam. Naib Presiden Iraq itu mengadakan sidang akhbar di premis yang dipenuhi tentera dan wartawan asing.

Dengan wajah tegas dia memerhatikan kami dan meneruskan ucapan tentang demokrasi dan kekuatan Iraq mempertahankan diri daripada ancaman luar.

Dia mengakhiri sidang media dengan mengucapkan terima kasih kepada wartawan. Tidak ada sebarang peluang untuk kami mengemukakan soalan. Justeru ia sebenarnya bukan sidang media tetapi sesi memberi kenyataan akhbar saja.

Izzat bagai Saddam juga - dikawal rapi oleh komando yang berwajah garang.

Iraq ketika itu belum reda dengan peperangan dengan Iran. Alasan keselamatan awam mendorong pilihan raya diadakan secara tergesa-gesa dan tanpa kempen.

Perang Iran-Iraq yang juga dikenali sebagai Perang Pertahanan bermula pada Sept 1980 dan berakhir Ogos 1988. Umumnya, perang itu dikenali sebagai Perang Teluk Parsi, sehinggalah konflik Iraq-Kuwait tercetus pada awal 1990-an.

Dan untuk beberapa ketika ia dikenali sebagai Perang Teluk Parsi Pertama.

Kesan peperangan itu mengubah politik serantau dan dunia. Ia turut menyaksikan penggunaan senjata kimia oleh tentera Saddam ke atas pasukan Iran dan juga etnik Kurdish.

Jakarta, Kuala Lumpur berbalah

Proses pilihan raya ala Saddam tidak jauh beza dengan Soekarno (1901 -1969) di Indonesia. Dia juga menggunakan proses demokrasi ketenteraan untuk menundukkan musuh politik.

Indonesia pada 1959 – 1966 berada di bawah pentadbiran 'demokrasi terpimpin' apabila semua keputusan ditentukan oleh pimpinan Soekarno. Konsep demokrasi terpimpin pertama kali dicetuskan Soekarno ketika sidang konstituante pada 10 Nov 1956.

Soekarno mendakwa sebelum demokrasi terpimpin wujud, pemerintahan tidak berjalan efektif kerana parti-parti politik saling bersaing dan berebut kepentingan. Kempen pilihan raya didakwanya merosakkan demokrasi dan menyebabkan pembangunan Indonesia yang baru merdeka menjadi terbantut.

Kebebasan awam dicengkam. Rejim tentera berkuasa penuh dan pilihan raya menjadi alat untuk mengabsahkan kekuasaan yang dipertahankan. Malah Soekarno menuduh demokrasi Malaysia sebagai acuan penjajah untuk mempertahankan kolonial British di nusantara.

Konfrontasi Malaysia-Indonesia menyaksikan pemimpin kedua-dua negara saling menuduh. Jakarta menuduh Tunku Abdul Rahman menjadi mangsa demokrasi acuan British, manakala Kuala Lumpur pula mendakwa Indonesia dikuasai komunis yang bertentangan ideologinya dengan Islam.

Pada abad ke-20 banyak negara yang merdeka terperangkap dengan sistem demokrasi terpimpin atau dipimpin oleh neofeudalisme. Negara Arab pula terperangkap dengan sistem monarki yang berkuasa menggunakan nama Allah.

Imej demokrasi, komunisme dan sosialisme menjadi polemik Afro-Asia.

Asia Barat sama ada kekal di bawah monopoli istana atau ditumbangkan oleh rejim tentera dan berdepan ancaman demokrasi yang serius.

Pilihan raya hanya menjadi alat untuk orang berkuasa mengekalkan kekuasaan. Kehadiran tokoh seperti Saddam, Muammar Gaddafi, Hafez al-Assad dan Gamal Nasir pada awalnya dianggap ikon demokrasi negara Arab sebelum akhirnya terpalit dengan tuduhan feudal baru yang berkuasa dengan senjata.

Proses demokrasi di Malaysia tidak jauh beza dengan kebanyakan dunia ketiga. Sebelum mengenal media baru dan media digital, maklumat menjadi hanya milik pihak yang berkuasa. Demokrasi yang dicanangkan sebagai ikon kebebasan tidak lebih daripada mitos untuk mengekalkan kuasa.

Sejak 1955 pilihan raya dianggap tidak bebas apabila pihak yang berkuasa memiliki lesen amat besar menggunakan kuasa ketika proses pengundian. Jentera kerajaan dan belanjawan negara boleh digunakan tanpa had untuk mengekalkan kuasa.

Cuma semasa pilihan raya umum 2018 keadaan berbeza apabila kebangkitan rakyat membuak di mana-mana dan mereka menggunakan peti undi untuk menukar kerajaan korup yang berkuasa selama 60 tahun.

Pilihan raya jadi senjata

Kesedaran politik itu tidak terjadi dengan sendiri kerana proses kematangan manusia secara evolusi bermula daripada sebab dan akibat.

Sebab awal adalah salah guna kuasa dan korupsi. Akibat yang jelas rakyat nampak ialah bagaimana dana negara disalah guna untuk kepentingan peribadi.

Isu penyelewengan 1MDB menjadi fokus bukan saja di dalam negara, bahkan menjadi cerita sensasi bertaraf dunia.

Sebagai dunia ketiga, kematangan politik dan pilihan raya di Malaysia belum sempurna. Isu kaum dan agama masih mendominasi proses demokrasi. Hak asasi, kenaikan harga barangan, kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham diketepikan semata-mata kerana ada pihak yang mahu terus mengeksploitasi demokrasi untuk berkuasa.

Perlu diingat, runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan selepas 22 bulan bukanlah melalui proses demokrasi. Ia terjadi hanya dengan melompatnya beberapa politikus yang mengkhianati mandat dan membohongi rakyat yang sebelum itu meletakkan kepercayan kepada mereka.

Maka tidak hairanlah kerajaan itu menjadi goyah. Ia berdiri di luar pilihan rakyat. Timbulnya desakan agar pilihan raya dibuat secepat mungkin pula bukan berupa jaminan nasib rakyat dan negara boleh berubah.

Sentimen rakyat adalah kepayahan hidup pascapandemik. Pendapatan benar rakyat merosot dan peluang pekerjaan yang selesa masih terbatas. Ahli politik pula terus bersedap-sedapan mengutamakan kepentingan peribadi.

Misalnya mendesak pilihan raya umum diadakan ketika musim tengkujuh.

Jika Saddam dan Soekarno menggunakan tentera serta senjata untuk berkuasa, di sini kita memperguna pilihan raya dan demokrasi untuk menyelamatkan segelintir golongan korup daripada penjara.

Rupa-rupanya, di Malaysia ini juga wujud Abang Long!


IMLAN ADABI ialah bekas wartawan yang kini menulis tanpa sebarang kluster.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.