Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan batal saman RM100j persatuan teksi ke atas Grabcar kekal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan untuk membatalkan tindakan sivil yang diambil Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Malaysia ke atas Grabcar, atas dakwaan menjalankan perkhidmatan e-hailing secara tidak sah di Malaysia pada 2014 hingga 2017.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Azizah Nawawi sebulat suara memutuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak membuat sebarang kesilapan yang boleh dirayu apabila membenarkan permohonan Grabcar untuk membatalkan saman itu pada 14 Julai lalu.

Dia berkata panel hakim setuju dapatan Mahkamah Tinggi bahawa gabungan itu antaranya tiada locus standi (hak atau kapasiti untuk membawa tindakan undang-undang).

"Kami menolak rayuan ini dan mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi," kata Azizah. Panel hakim lain adalah S Nantha Balan dan Supang Lian.

Ketika dihubungi selepas prosiding, peguam R Kengadharan yang mewakili gabungan itu berkata anak guamnya sedang menimbang sama ada untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan atau tidak.

Persatuan itu memfailkan writ saman pada 4 Disember 2020. Ia menyenaraikan 15 pemandau teksi sebagai wakil persatuan, dan Grabcar Sdn Bhd sebagai responden tunggal.

Menurut salinan pernyataan tuntutan, plaintif antara lain mendakwa perkhidmatan e-hailing yang dijalankan Grabcar, antara 16 Mei 2014 hingga 27 Julai 2017, melanggar Akta Pengangkutan 2012, Akta Persaingan 2010, dan Perlembagaan Persekutuan.

“Defendan telah memudaratkan mata pencarian, pendapatan, hak dan kepentingan pemandu teksi.

"Tindakan defendan telah memudaratkan persaingan dan berkelakuan seakan pemangsa terhadap pesaing," menurut pernyataan tuntutan itu.

Mereka juga mendakwa Grabcar beroperasi tanpa lesen sejak 16 Mei 2014 hingga 27 Julai 2017 yang didakwa mereka melanggar Akta Kontrak 1950.

Melalui tuntutan undang-undang tersebut, gabungan itu antara lain meminta ganti rugi bernilai RM100 juta, serta ganti rugi am, buruk, teladan dan hukuman.

Bagaimanapun, Grabcar dalam pernyataan pembelaan yang difailkan 14 Januari tahun lalu berkata perniagaan e-hailing tidak bersaing secara langsung dengan teksi.

Syarikat itu mendakwa perniagaannya melibatkan memudahkan pengaturan, tempahan atau traksaksi untuk perkhidmatan pengangkutan darat oleh pemandu untuk pelanggan menerusi platform dalam talian.

[Baca berita asal]