Skip to main
Logo Malaysiakini

Bayaran emolumen, persaraan kekal mampan jika pendapatan tinggi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peningkatan bayaran emolumen penjawat awam dan bayaran persaraan akan kekal mampan jika pertumbuhan hasil negara mengatasi kos penggajian, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

"Emolumen akan naik setiap tahun, sebab setiap tahun kita akan semak gaji. Begitu juga dengan bayaran pencen kerana jumlah kakitangan yang bersara meningkat setiap tahun.

"Tetapi selagi hasil kita lebih tinggi daripada kos (emolumen), kita sepatutnya dapat mengekalkannya," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Zafrul hari ini membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat yang melibatkan peruntukan RM372.3 bilion.

Daripada jumlah ini, RM272.3 bilion atau 73.1 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan RM95 bilion atau 25.5 peratus untuk perbelanjaan pembangunan (DE).

Emolumen untuk penjawat awam kekal sebagai komponen terbesar, iaitu satu pertiga daripada perbelanjaan mengurus.

"Komponen ini dianggarkan meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM90.8 bilion terutamanya disebabkan oleh pemberian kenaikan gaji tahunan khas untuk penjawat awam dan penyerapan pegawai kontrak ke jawatan tetap terutamanya dalam perkhidmatan kesihatan dan pendidikan,” kata Kementerian Kementerian dalam laporan Tinjauan Fiskal 2023 dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, bayaran persaraan dianggarkan meningkat 1.4 peratus kepada RM29.1 bilion, yang merangkumi 10.7 peratus daripada jumlah OE.

Sebanyak RM21.9 bilion atau 75.3 peratus daripada bayaran persaraan merupakan bayaran pencen kepada lebih 958,700 pesara dan penerima manfaat persaraan manakala selebihnya adalah bayaran untuk gratuiti dan gantian cuti rehat terkumpul.