Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan akan kaji semula amalan perbelanjaan untuk jaga fiskal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan akan mengkaji semula amalan perbelanjaan semasa termasuk program subsidi, pembaharuan pencen, perbelanjaan Kerjasama Awam Swasta (PPP) dan komitmen kewangan serta geran kepada badan berkanun untuk mengelak beban kewangan kerajaan.

Kementerian Kewangan berkata, ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk mengekalkan kedudukan fiskal yang mampan bagi pertumbuhan dan pembangunan negara di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Justeru, kerajaan akan mengkaji semula amalan perbelanjaan semasa termasuk program subsidi, pembaharuan pencen, perbelanjaan PPP dan komitmen kewangan serta geran kepada badan berkanun.

“Kerajaan akan terus berusaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan awam, mengurangkan ketirisan, menghapuskan pertindihan program dan projek serta menggalak dan mengguna pakai amalan terbaik dalam pengurusan perbelanjaan awam dan ketelusan dalam pelaporan kewangan,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata demikian dalam rencana bertajuk "Peningkatan Perbelanjaan Awam: Keperluan Semakan Semula dan Pengoptimuman,” dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Pencen

Sejak sedekad lalu, perbelanjaan pencen telah meningkat lebih dua kali ganda daripada RM13.6 bilion pada 2011 kepada RM29.1 bilion pada 2021. Trend in dijangka berterusan dan tanggungan perbelanjaan pencen akan menjadi tidak mampan memandangkan Malaysia kini merupakan negara menua berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (DOSM, 2022), katanya.

Peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia akan menyebabkan liabiliti pencen iaitu pembayaran pencen dan pencen terbitan perlu dibayar untuk tempoh yang lebih lama seterusnya memerlukan peruntukan yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Bagi menangani peningkatan liabiliti pencen, pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan ke atas skim pencen.

Selaras dengan peningkatan jangka hayat, umur persaraan mandatori telah beberapa kali disemak semula iaitu daripada 55 tahun pada 1951 kepada 60 tahun pada 2012.

Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Pencen telah ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454) bagi menguruskan liabiliti pencen dengan dana permulaan sebanyak RM500 juta dan dijangka berkembang melalui pelaburan seperti yang ditetapkan di bawah akta.

Seterusnya, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) yang menggantikan Akta 454 bagi meningkatkan tadbir urus dan mengoptimumkan pulangan dana.

Melangkah ke hadapan, KWAP akan memperkukuh keupayaan untuk mengembangkan saiz dan serta meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pesara.

PPP membebankan kewangan kerajaan

Kerjasama awam swasta bertujuan meringankan beban kerajaan dalam menyediakan modal segera yang tinggi bagi projek pembangunan.

Inisiatif ini juga membolehkan penambahbaikan kemudahan dan perkhidmatan awam memandangkan PPP menggalakkan inovasi sektor awam dan swasta melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam melaksanakan projek PPP.

Sejak diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), sebanyak 116 projek PPP telah dilaksanakan termasuk projek lebuh raya, bangunan kerajaan serta fasiliti pendidikan dan kesihatan.

“Bagaimanapun, komitmen konsesi PPP dan bayaran pajakan untuk sebahagian projek PPP telah membebankan kewangan kerajaan,” kata Kementerian Kewangan.

Meningkatkan ketelusan badan berkanun

Laporan Ketua Audit Negara dan International Journal of Public Sector Performance Management mendedahkan beberapa isu melibatkan badan berkanun seperti pembaziran sumber serta pertindihan dan pengurusan projek yang lemah.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK12) menggariskan keperluan mengkaji semula dasar dan proses dalam menguruskan badan berkanun bagi meminimumkan pendedahan kerajaan kepada risiko dan meningkatkan ketelusan badan berkanun.

“Selain itu, badan berkanun digalakkan untuk meningkatkan ketelusan pelaporan selaras dengan amalan dan piawaian terbaik antarabangsa bagi mengurangkan ketirisan seta mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan,” kata Kementerian Kewangan.

Terdapat lebih daripada 130 badan berkanun di peringkat Persekutuan sehingga Julai 2022.

Contoh badan berkanun ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Majlis Amanah Rakyat, institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaya, pihak berkuasa pembangunan wilayah seperti Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan pihak berkuasa pelabuhan seperti Lembaga Pelabuhan Klang.

-Bernama