K'jaan urus pelarian: Mungkin perlu 50 tahun baru capai standard, kata MP
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berpandangan Malaysia mungkin memerlukan masa lebih 50 tahun untuk memenuhi piawaian antarabangsa dalam pengurusan pelarian di negara ini.
Kenyataan itu susulan pengesahan kerajaan berhubung hasratnya untuk mengambil alih peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam isu pelarian.
Charles sekali lagi menyatakan keraguannya berkenaan kesediaan Malaysia untuk memikul tanggungjawab menguruskan penempatan semula pelarian dan pencari suaka dalam masa terdekat, memandangkan kerajaan menurutnya kurang kepakaran dan rangka kerja.
"Ini akan menjejaskan penempatan semula pelarian dan pencari suaka," katanya.
Dia juga menyifatkan kenyataan kerajaan bahawa pejabat UNHCR bertindak perlahan dalam menempatkan semula pelarian sebagai tidak berasas kerana keputusan berkenaan perkara itu dibuat negara penerima.
"Pencerobohan Rusia di Ukraine turut mengalihkan tumpuan negara penerima daripada keadaan di Myanmar...
"Pada masa sama UNHCR tidak diberi akses ke mana-mana pusat tahanan Imigresen sejak 2019 untuk membuat temubual dengan pelarian dan pencari suaka," katanya lagi.
Keraguan terhadap pejabat UNHCR di Malaysia mula timbul bulan lalu.
Ia selepas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad mencadangkan agar kerajaan menimbang untuk menutupnya agar pengurusan pelarian di negara ini dapat dibuat tanpa "campur tangan asing".
Kira-kira tiga minggu kemudian, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB di New York membangkitkan isu Rohingya.
Kerajaan akan ambil alih
Menjawab soalan Charles kepada Ismail Sabri di Parlimen berhubung perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad mengesahkan kerajaan tidak berhasrat untuk mengekalkan peranan UNHCR di negara ini tanpa sebarang tempoh tetap.
"Namun, peralihan ini perlu dibuat secara cermat dan dengan due diligence, serta memastikan agensi kerajaan benar-benar bersedia untuk mengambil alih peranan UNHCR, dan maka pejabat UNHCR tidak lagi diperlukan di Malaysia.
"Pejabat UNHCR di Thailand dan Indonesia boleh mewakili kepentingan UNCHR berkenaan pelarian di Malaysia," katanya.
Menurut Latiff, MKN sedang melaksanakan penambahbaikan menerusi reformasi struktur terhadap dasar pengurusan pelarian dan pencari suaka sedia ada.
MKN juga bertanggungjawab menyeleraskan agensi kerajaan dan kementerian berkaitan dalam perkara itu.
Pada 8 September lalu, UNHCR memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya sudah memulakan rundingan tertutup dengan Kementerian Luar berkenaan rangka kerja kerjasama dalam pengurusan pelarian dan komited ke arah peralihan secara bertahap.
Sementara itu, pada 7 September lalu, Kementerian Dalam Negeri menggesa pemegang kad pelarian UNHCR untuk berdaftar dalam Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian (Tris).
Mereka yang berdaftar akan menerima kad identiti khas MyRC dan boleh dipertimbangkan untuk diberi akses kepada kemudahan disediakan kerajaan.
Menurut laporan, Tris dikendalikan oleh Barisan Mahamega Sdn Bhd yang dipengerusikan bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Akhil Bulat.
Charls yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan menggesa penelitian berhubung perkara itu, serta risiko lebih banyak penswastaan dilakukan dalam soal pengurusan pelarian.
Sementara itu, pengasas dan presiden Beyond Borders Mahi Ramakrishnan berkata cadangan untuk menutup agensi PBB di Malaysia selepas ucapan Ismail Sabri di Perhimpunan Agung PBB membangkitkan persoalan terhadap keabsahannya sebagai perdana menteri.
"Ismail Sabri dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah dapat pujian lepas bangkitkan isu Rohingya di sana.
"Hanya kerana Latiff mahu urus pelarian tanpa mengikut instrumen antarabangsa, ia tidak bermakna kita boleh mencabuli prinsip undang-undang kelaziman, seperti prinsip pelarian tidak akan dihantar pulang secara paksa," katanya,
Katanya lagi, umum mengetahui bahawa pelarian yang ditahan di pusat tahanan juga didakwa berdepan dengan unsur-unsur penyeksaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai