Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya tak nak masuk neraka' - Faizal enggan dedah perbincangan Kabinet

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu enggan mendedahkan maklumat dalam mesyuarat Kabinet kerana menurutnya bimbang menerima balasan daripada Tuhan.

Faizal berkata demikian ketika ditanya sama ada isu pembubaran Parlimen ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam atau tidak.

Katanya, ketika mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, dia telah bersumpah untuk tidak mendedahkan apa yang dibincangkan dalam Kabinet.

"Sebab saya bersumpah atas nama Allah kalau saya ceritakan masuk neraka. Saya tak nak masuk neraka.

"Dia makan rasuah, salah guna kuasa dengan bersumpah dengan nama Allah, kemudian kita tak ikut masuk neraka," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Faizal turut diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang menyifatkan tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang menghantar surat kepada Agong untuk menyatakan tidak setuju PRU15 dibuat tahun ini, sebagai tidak wajar.

Dia berkata mereka hanya menyampaikan hasrat mereka kepada Agong dan mana-mana pihak bebas untuk tidak bersetuju dengan tindakan itu.

"Ini adalah sebuah negara berdemokrasi. Kami fikir kami perlu menyampaikan hasrat dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

"Ada pihak yang tak bersetuju, ada ramai juga yang bersetuju. Jadi tak perlu kita nak bergaduh. Saya menghormatinya dan saya fikir masing-masing boleh mengeluarkan pandangan," katanya lagi seperti dipetik.