Skip to main
Logo Malaysiakini

Ronnie Liu dijangka umum keluar DAP

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu dijangka mengumumkan keluar DAP dalam masa terdekat.

Malaysiakini difahamkan Liu akan meletak jawatan daripada parti yang disertainya sejak 1980-an itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Liu berkata dia akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu tidak lama lagi.

"Tunggu kenyataan saya," katanya ringkas.

Liu dipilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP dan memperoleh 1,070 undi pada pemilihan parti itu awal tahun ini.

Bagaimanapun, Liu dilihat sering tidak sehaluan dengan pimpinan DAP dan telah diberikan beberapa surat tunjuk sebab pada 2019.

Perselisihan terbaru membabitkan dia dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berhubung pindaan perlembagaan parti itu.

Loke menggesa Liu untuk menghormati keputusan parti dan tidak secara terbuka mempersoalkan DAP yang didakwa Liu "mungkin tidak demokratik lagi" berikutan pindaan antilompat parti.

Pada Mac lalu, Liu mengakui bahawa kritikan terbukanya kepada DAP telah menyebabkan dia mengalami beberapa persepsi yang salah.

“Walaupun mereka kata saya pembuat masalah atau bukan pemain pasukan, saya percaya saya adalah DAP asal. Saya tidak pernah lari dan sentiasa menjaga nilai,” kata Liu dalam wawancara dengan Malaysiakini pada Mac tahun ini.