Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiba masa rombak sistem perolehan tentera - Rafizi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sudah tiba masanya untuk merombak proses perolehan tentera dengan bantuan pakar dan bekas jeneral, tegas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Ini katanya susulan skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) RM9 bilion.

Rafizi mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk mengkaji semula proses perolehan ketenteraan dan menyelesaikan isu berkaitan pelantikan kontraktor pertahanan tempatan.

“Lantik pakar dan bekas jeneral tentera yang pernah berkhidmat untuk negara serta negarawan dalam panel siasatan ini. Panggil mereka semula untuk membantu negara,” katanya pada majlis dialog Ayuh Malaysia bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Petaling Jaya, malam tadi.

Kedudukan Malaysia di kawasan hotspot bermakna ia perlu menangani masalah seperti "tersepit" dalam pertikaian wilayah Laut China Selatan dan ancaman lanun di perairan Sabah, katanya.

“Kita juga bukan negara kaya seperti China dan Amerika Syarikat yang berbelanja besar untuk pertahanan, jadi tak boleh habiskan banyak peruntukan,” katanya.

Sehubungan itu, timbalan presiden PKR itu menggesa kerajaan menyiasat dengan teliti perolehan aset ketenteraan sebelum ini dan melarang ahli politik terlibat dalam proses tersebut.

Sebelum ini, polis menyiasat kenyataan Rafizi yang didakwa memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Fungsi Khas) Abdul Latiff Ahmad apabila mengaitkannya dengan skandal LCS.

Rafizi menuduh Latiff dan ahli keluarganya mendapat manfaat daripada projek LCS dan kontrak pertahanan lain semasa dia memegang jawatan sebagai timbalan menteri pertahanan.

Latiff menafikan sebarang penglibatan dalam skandal itu.

[Baca berita asal]