Tiga sungai di Kedah berada pada paras amaran
Tiga sungai di daerah Padang Terap serta Kota Setar mencatatkan paras amaran manakala tujuh sungai di empat daerah berada pada paras waspada, setakat pukul 12 tengah hari ini.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata sungai yang berada pada paras amaran bagi daerah Padang Terap ialah Sungai Sari di Kilang Gula dan Sungai Padang Terap, manakala di Kota Setar ialah Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR.
"Tujuh sungai yang berada pada paras waspada ialah Sungai Melaka dan Sungai Kuah di Langkawi; Sungai Janing dan Sungai Perik di Padang Terap; Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Kedah di Kota Setar serta Empangan Beris di Sik," katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Suhaimi berkata banjir kilat berlaku di daerah Kulim, Kuala Muda dan Baling antara 4 hingga 7 pagi tadi yang melibatkan beberapa kampung, namun tiada pusat penempatan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
"Proses pemindahan mangsa ke tempat yang lebih tinggi dan selamat sedang dilakukan.
“Anggota APM akan melakukan pemantauan setiap jam di semua sungai di negeri ini bagi memastikan kesiapsiagaan awal dapat dilakukan sekiranya paras air naik secara mendadak," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai