Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Jika masa depan Bersatu cerah, Rais tak keluar parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tindakan bekas pakar strategi Bersatu Rais Hussin keluar daripada parti itu merupakan petanda masa depan parti itu suram, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

"Sudah pasti pakar dan ahli strategis yang pintar boleh membaca dan menjangka situasi politik semasa.

"Jika partinya masih relevan dan mempunyai masa depan yang cerah dan terang benderang, maka perjuangan pasti diteruskan dan terus bersama parti.

"Lebih-lebih lagi apabila parti mempunyai jawatan strategik dalam kerajaan termasuk kabinet dan GLC," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Gambar fail, Rais Hussin.

Zahid juga mendakwa ada ahli Bersatu yang telah melompat balik ke Umno "secara terbuka dan senyap-senyap."

"Ada juga yang mengaku telah kembali ke Umno walaupun tak pernah diketahui Umno bahagian.

"Ada juga yang mengaku kembali tetapi sikapnya tidak menunjukkan disiplin dan taat kepada parti.

"Sikap adu domba masih ada dan jika dibiarkan akan menjadi api dalam sekam," katanya.

Gambar hiasan, AGM Bersatu.

Bagaimanapun, Zahid menasihatkan ahli Bersatu supaya mempertimbangkan pilihan mereka.

"Cuma untuk ahli-ahli Bersatu yang bukan berstatus pengasas bersama Bersatu dan ahli strategis, ingin saya tanyakan, anda ahli-ahli biasa di peringkat cawangan bila lagi keluar dari parti Bersatu?

"Jangan pula lari malam beramai-ramai selepas tewas pilihan raya umum. Sudah terlewat ketika itu," pesannya.

Rais melalui kenyataan tiga hari lalu berkata dia telah menjadi ahli Bersatu yang tidak aktif sejak 2020 dan dirinya sedang menumpukan pembangunan Emir Research sebagai badan pemikir bebas.

Pada Jun 2020, Rais dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan meletak jawatan pada Oktober 2021.