Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno buat mesyuarat khas susulan Parlimen bubar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno hari ini mengadakan mesyuarat khas biro politik serta majlis tertinggi parti itu susulan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen sekali gus memberi laluan kepada PRU15 diadakan.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di laman Twitternya hari ini.

“Parlimen dibubarkan hari ini 10/10/22 (10 Okt 2022). Tarikh #PRU15 akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya @sprgovmy.

“Pukul lima petang hari ini, Isnin, Mesyuarat Khas Biro Politik Umno akan diadakan. Pukul lapan malam hari ini juga, Mesyuarat Khas MKT UMNO akan diadakan. Di #WTCKL. Salam perjuangan,” katanya ringkas.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen ke-14 mengumumkan pembubaran itu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada pukul tiga petang.

Perdana Menteri memaklumkan dia telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari semalam bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen ke-14.

Ismail Sabri meninggalkan bangunan Perdana Putra pukul 4.47 petang selepas selesai perutusan khas itu dan dijadualkan menghadiri kedua-dua mesyuarat Biro Politik serta mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Umno itu.

"Saya dah umum (pembubaran) tadi. Saya nak ke mesyuarat Biro Politik Umno pukul lima petang ini," katanya kepada pengamal media yang telah berkampung di hadapan bangunan Perdana Putra sejak pukul 8 pagi.

Antara Ahli Majlis Tertinggi Umno yang kelihatan hadir setakat pukul lima petang ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid; Noh Omar, Bung Moktar Radin, Johari Abdul Ghani dan Ab Rauf Yusoh.

-Bernama