Skip to main
Logo Malaysiakini

Walau tak setuju PRU awal, PN tetap hormat pembubaran Parlimen

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perikatan Nasional (PN) tetap menghormati keputusan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen walaupun gabungan itu pernah menyarankan agar pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata PN menerima keputusan itu kerana ia dibuat berlandaskan Perlembagaan negara dan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Apa sebab sekali pun, apabila diumumkan (pembubaran Parlimen) ia selaras dengan Perlembagaan dan kita hormati walaupun sebelum ini PN sudah memberikan pandangan kerana situasi semasa ini tidak sesuai, kerana kemungkinan berlakunya banjir dan masalah lain sedang dihadapi negara.

"Yang penting ketika ini ialah kita dah pun buat persiapan dan kita akan teruskan agar PN akan mencapai kemenangan dalam PRU15 ini.

"Cuma kita harap perjalanan proses pilihan raya tidak terganggu dengan keadaan banjir yang sudah mula berlaku," katanya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pimpinan PN Pahang di Temerloh, petang tadi.

Turut hadir Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan Pahang Randy Yap.

Muhyiddin turut memaklumkan semua jentera PN akan bergerak atas nama gabungan dan dan bukan jentera tiga parti secara berasingan.

Katanya, proses pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan itu juga menggunakan formula 'status quo' dan setiap kerusi DUN dan Parlimen dimenangi parti dalam PN ketika pilihan raya umum lalu akan kekal ditandingi calon dari parti berkenaan.

"Pembahagian kerusi ini sudah hampir selesai dan kita cuma tiga orang (parti) dalam PN, jadi bincang sekejap boleh selesai.

"Setakat ini (perbincangan) berjalan dalam keadaan baik, takdalah sampai bertempik-tempik, bergaduh kerana siapa pun yang bertanding dalam pilihan raya ini atas nama PN," katanya.