Skip to main
Logo Malaysiakini

Sidang DUN Pahang diteruskan esok, kata speaker

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sidang DUN Pahang diteruskan seperti biasa esok dan akan dibatalkan hanya selepas Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah untuk pembubarannya.

Perkara itu dinyatakan Speaker DUN Pahang Ishak Muhamad yang memaklumkan perbahasan Belanjawan Pahang yang dibentangkan Wan Rosdy Jumaat lalu akan berjalan seperti ditetapkan.

"Buat masa ini sidang DUN Pahang tetap berjalan seperti jadual dan perbahasan diteruskan.

"Sesi sidang DUN hanya akan dibatalkan selepas Menteri Besar menghadap Pemangku Raja Pahang untuk pembubaran DUN," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, sumber kerajaan negeri memaklumkan Wan Rosdy dijangka menghadap Tengku Hassanal Ibrahim petang esok.

Namun, waktu sebenar sesi menghadap itu belum dapat disahkan.

Dia berkata, pembubaran DUN Pahang hanya boleh dilakukan selepas mendapat perkenan Tengku Hassanal Ibrahim bagi memberi laluan kepada proses PRU15 peringkat negeri diadakan serentak dengan Parlimen.

Dalam perutusan hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri turut meminta kerajaan negeri diperintah BN agar membubarkan DUN masing-masing bagi memastikan proses PRU berjalan serentak.