Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | PH bersedia berdepan pihak 'curangi' mandat rakyat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KATA MP | Kerajaan telah bertindak untuk membubarkan Parlimen, lantas telah memaksa negara untuk menghadapi PRU berlatarbelakangkan musim banjir.

Tindakan ini dilihat bertentangan dengan kebijaksanaan yang ditonjolkan Yang di-Pertuan Agong, nasihat dan unjuran yang dibuat peramal kaji cuaca serta keluhan yang disuarakan ribuan rakyat Malaysia.

Biar saya jelaskan dengan lebih lanjut. PH bersedia untuk menghadapi PRU15.

Kami telah bersedia untuk berhadapan dengan gerombolan yang telah mencurangi mandat PRU yang lalu. Kami juga bersedia untuk memungkinkan sebuah masa depan yang mampan, makmur serta sebuah pemerintah yang benar-benar prihatin dan punyai sikap belas kepada nasib dan kebajikan rakyat.

Malaysia yang baru di bawah PH pastinya akan memberi lebih penekanan yang mendalam kepada aspek-aspek ini dan akan berusaha sebaik mungkin bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

Saya menerima sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenan Parlimen dibubarkan kerana Baginda bertindak berdasarkan peruntukan kuasa yang ada seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, yang dipersoalkan adalah niat pihak yang berkepentingan yang begitu gelojoh mahupun pilihan raya diadakan pada saat sekarang.

Tampaknya kabinet yang paling besar dalam sejarah negara ini tewas dan tunduk kepada tekanan dan kedurjanaan politik yang berkiblatkan kuasa dan wang ringgit.

Langkah ini ternyata suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia yang di bawah yang kini terbeban dengan kenaikan harga barang yang tinggi, gaji yang rendah, peluang pekerjaan yang tidak cukup untuk para siswazah, kualiti pendidikan, akses yang sangat rendah kepada kesihatan, simpanan yang tidak munasabah untuk usia persaraan, serta yang paling utama ancaman musibah banjir dan dampak buruk dari kemelut alam dan iklim.

Musim banjir telah pun bermula tatkala sebahagian kawasan di Sabah, di bandar-bandar seperti Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang telah ditenggelami air. Sebahagian kawasan sungai Muar berdekatan Kuala Pilah telah melimpah dan menjejaskan dua kampung dan kawasan sekitar. Di Baling lapan sungai telah melepasi paras bahaya. Pakar cuaca juga menjangkakan hujan lebat akan berterusan.

Manusia, parti politik dan kerajaan jenis apakah yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat dengan mengadakan pilihan raya pada saat ini?

Usah kita diperdaya dengan kerajaan yang hanya pentingkan kepentingan mereka yang kononnya bagi memulangkan mandat kepada rakyat. Ya, benar kita mesti adakan pilihan raya. Sejak pengkhianatan maha durjana yang telah menyebabkan kerajaan PH jatuh dahulu, rakyat telah lama menantikan saatnya untuk menghukum para pendiri kerajaan pintu belakang dan para pengkhianat.

Tetapi sekiranya pilihan raya yang diadakan akan memberi risiko kepada rakyat Malaysia tatkala mengundi akan menjadi cabaran bagi sesetengah rakyat, maka ia dilihat seperti menipu dan cuba menghalang pengundi dari melaksanakan tanggungjawab mereka.

Kerajaan ini gagal dalam mengemudi negara saat serangan wabak Covid-19 dan mengelak dari melakukan tanggungjawabnya di Parlimen. Kerajaan ini menyebabkan pilihan raya berlaku di Sabah yang menyebabkan wabak Covid-19 terus mengganas di seluruh Malaysia dan 35,000 rakyat Malaysia terkorban.

Kerajaan ini mengumumkan darurat bagi menggantung fungsi dan peranan Parlimen dari berdepan di Parlimen. Kerajaan yang sama juga bohong kepada rakyat dan negara terkait aplikasi MySejahtera dan Digital Nasional Berhad.

Kerajaan ini juga berdusta berkenaan 1MDB. Ternyata kerajaan yang sama juga menipu tentang pemerolehan kapal tempur pesisir (LCS) dan juga mengenai membendung kemiskinan dan akses kepada pendidikan dan kesihatan.

Masanya telah tiba untuk membetulkan kecurangan dan kebejatan ini. Tiba masanya untuk kita merampas semula negara ini dari kerakusan perompak dan penindas, serta dari gerombolan yang sibuk memperkayakan keluarga dan kroni mereka, manakala rakyat di bawah terus menderita menanggung kos sara hidup yang terus membengkak.

Tentunya elit politik tidak memahami kesulitan yang dihadapi rakyat saat ini untuk mendukung keluarga mereka. Kepada anak-anak muda yang akan mengundi kelak, saya tekankan bahawa pilihanraya yang akan datang akan memberi kesan yang besar kepada masa depan rakyat dan negara.

Kita perlu buat sehabis baik dalam memastikan negara ini mendepani permasalahan yang mendesak saat ini yakni kos sara hidup yang tinggi, akses kepada pendidikan yang berkualiti, mengembalikan keyakinan kepada ekonomi kita serta memastikan pelaburan yang setara buat Malaysia.

Kita pastinya akan buat yang terbaik dalam melindungi alam sekitar dan mempersiap negara dalam memampan dampak kemelut iklim dan alam sekitar.

Saya telah menjelajah ke seluruh negara dalam beberapa minggu yang lalu dan bertemu ramai orang. Saya terharu tatkala mereka menyuarakan kesungguhan mereka bagi menghukum para konspirator dan dalang Langkah Sheraton. Saya teruja dengan semangat yang dipaculkan.

Bagaimanapun, saya mengakui terdapat sebahagian kita yang kecewa dengan sistem politik dan sikap angkuh watak-watak ini menyumbang kepada gejala itu, terutamanya yang merencana dan melakukan pengkhianatan.

Apakah kalian bimbang isu harga barang? Soal pekerjaan? Musim tengkujuh dan banjir? Apakah kalian mahu pendidikan yang berkualiti? Kalian mahu sistem dan akses yang munasabah kepada kesihatan?

Justeru itu, kita mesti turun mengundi.

Dalam minggu-minggu yang mendatang, mari bersama kita membangkitkan semula semangat untuk menggapai sebuah Malaysia yang lebih baik dan merangkul segala kekuatan yang ada, tidak kira saat kita mahu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, penubuhan Malaysia 1963, atau peristiwa Reformasi 1998 dan juga kemenangan rakyat pada tahun 2018.

Kita tidak ada pilihan tetapi mesti terus konsisten dengan semangat yang jelas, keberanian serta komitmen dalam mempaculkan sebuah Malaysia yang berketerampilan dan kuat.

Malaysia mesti bangkit.


ANWAR IBRAHIM adalah ketua pembangkang, pengerusi PH, presiden PKR dan ahli parlimen Port Dickson.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.