Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Bubar Parlimen demi kemaslahatan, masa depan rakyat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno memohon Parlimen dibubarkan ketika kerajaan campuran berada di puncak kuasa demi kemaslahatan dan masa depan rakyat serta negara, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN berkata ia langkah yang tepat bagi memberi kuasa penentuan kepada rakyat untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara.

Dalam hantaran Facebook rasminya dia berkata Umno berjiwa besar pada 2020 merestui sebilangan wakil rakyatnya bekerjasama dalam membentuk kerajaan sementara bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negara daripada kucar-kacir selepas kerajaan PH tumbang akibat perebutan kuasa.

“Syukur Alhamdulillah mandat akhirnya dikembalikan kepada rakyat untuk membuat penentuan mutlak pada PRU15,” katanya.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan menyifatkan pembubaran Parlimen pada hari sebagai laluan kepada masyarakat India untuk menentukan masa hadapan mereka melalui PRU15.

Dia berkata hubungan baik MIC dan UMNO dalam BN mampu membuahkan hasil sekali gus menjamin masa depan baik kaum India.

“MIC memang dah lama bersedia untuk PRU15. Saya minta masyarakat India untuk menilai dan memilih calon atau parti politik dengan ketepikan emosi,” katanya.

Sekiranya PRU15 diadakan pada musim perayaan Deepavali, dia berkata ia perlu dianggap sebagai peluang untuk membantu rakyat dan bukan menjadikan Deepavali sebagai alasan untuk tidak menjalankan kewajiban.

Manakala Ketua Umno Ketereh Annuar Musa berkata selaras dengan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, dia mengajak rakyat Malaysia tunaikan tanggungjawab membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

Annuar berkata ia perlu supaya rakyat Malaysia boleh menumpukan sepenuh perhatian dan keupayaan mengharungi cabaran mendatang, membina semula ekonomi dan memacu negara serta kesejahteraan hidup rakyat.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataan berkata Gerakan kecewa dengan pengumuman pembubaran Parlimen yang menyebabkan PRU15 mungkin perlu diadakan pada musim tengkujuh.

Lau berkata Gerakan menyifatkan PRU15 bukan keutamaan bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda Malaysia ini terutamanya ketika negara bakal berdepan musim tengkujuh namun semua jentera di semua peringkat akar umbi parti dan komponen Perikatan Nasional sudah bersiap sedia menghadapinya.

-Bernama