Skip to main
Logo Malaysiakini

Presiden MIC mahu tanding di Sg Siput, tuntut lebih 9 kerusi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden MIC SA Vigneswaran merancang untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput, yang merupakan bekas kubu kuat MIC, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya harap saya akan dapat bertanding di Sungai Siput.

"Itulah yang saya fikirkan. Saya tidak boleh pergi ke tempat baru. Tidak cukup masa," katanya seperti dipetik The Star semalam.

Untuk rekod, bekas presiden MIC S Samy Vellu berkhidmat sebagai ahli parlimen Sungai Siput selama lapan penggal dari September 1974, sehingga dia tewas kepada Dr Jeyakumar dari PSM pada Mac 2008.

Tandingi 9 kerusi parlimen, atau lebih

Ahli Parlimen Sungai Siput sekarang ialah Kesavan Subramaniam dari PKR, yang menewaskan SK Devamany dari MIC pada pilihan raya umum 2018.

Menurut Vigneswaran, MIC berhasrat untuk bertanding di sembilan kerusi parlimen, atau mungkin lebih, dan 18 kerusi DUN, pada PRU15.

Parti itu kini hanya mempunyai satu kerusi parlimen - Tapah, yang disandang oleh timbalan presidennya M Saravanan (gambar, bawah).

Vigneswaran berkata parti itu sudah pun melantik penyelaras yang sudah menjalankan tugasan di lapangan, seperti bertemu pengundi di tempat yang mereka rancang untuk bertanding.

Menurut Vigneswaran, MIC juga sedang mempertimbangkan untuk meletakkan 70 peratus calon wanita dan muka baru dalam pilihan raya.

Hubungan tuan dan orang bawahan

Sementara itu, Saravanan memberitahu pemberita bahawa kemungkinan besar dia akan mempertahankan kerusi Tapah pada PRU15.

Menteri sumber manusia itu juga berkata MIC kini adalah "rakan kongsi strategik" Umno, bukannya orang bawahan.

"Hari ini anda boleh lihat hubungan Umno dan MIC. Ia bukan hubungan antara tuan-orang bawahan (master-servant). Kami adalah rakan strategik.

"Mungkin suatu ketika dahulu, ia adalah hubungan antara tuan dengan orang bawahan. Tidak lagi," katanya dipetik akhbar berbahasa Inggeris itu.

Saravanan turut membidas Pakatan Harapan kerana tidak menyelesaikan isu berkaitan kaum India di negeri-negeri yang diterajui gabungan itu, seperti Pulau Pinang dan Selangor, walaupun telah mentadbir selama beberapa penggal, dan mentadbir di kerajaan Persekutuan selama 22 bulan.

"Adakah mereka menyelesaikan semua isu tanah? Adakah mereka menyelesaikan semua isu perumahan? Adakah mereka telah membuat semua orang India kaya?

"Kaum India di Pulau Pinang dan Selangor masih menderita. Jadi jangan kata 'kita hanya ada 22 bulan dan kita perlukan lebih masa'," katanya.