Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin: Umno mahu peratusan keluar mengundi rendah 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Di sebalik pembubaran parlimen semalam, ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali mendakwa terdapat parti politik yang mahukan peratusan keluar mengundi yang rendah agar kemenangan memihak kepada mereka. 

Azmin yang juga pengarah pilihan raya PN memberi sebab mengapa pilihan raya umum ke-15 dipercepatkan, walaupun sewaktu negara bakal berdepan dengan musim tengkujuh. 

“Hakikatnya, ada parti politik yang tidak mahu melihat peratusan keluar mengundi tinggi kerana peratusan keluar mengundi yang rendah akan memberi lebih peluang kepada parti berkenaan untuk menang. 

“Inilah wajah sebenar mengapa PRU15 diadakan dalam musim hujan lebat dan kemungkinan banjir besar. 

“Bagaimanapun, PN tidak gentar dengan kedegilan dan keangkuhan Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembubaran parlimen ke-14, memberi laluan kepada pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari.

Pembubaran itu diumumkan setelah Umno–sebagai parti dominan dalam kerajaan–berulang kali mendesak langkah itu, terutama selepas bekas perdana menteri Najib Razak dipenjara atas kesalahan rasuah pada 23 Ogos lalu.

Menurut Azmin, keutamaan ahli politik sewajarnya memberikan tumpuan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa. 

Dia turut menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat. 

“Perkembangan politik semasa menggambarkan bahawa Umno gagal merasai denyutan nadi rakyat dan gagal untuk bersama rakyat dalam situasi pemulihan ekonomi serta keadaan cuaca yang amat mencabar. 

“Pembentangan Belanjawan 2023 adalah sia-sia, membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas pulas untuk mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan,” katanya.