Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN l Kuasa kerajaan sementara sangat minimum

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN l Setelah parlimen dibubarkan, maka terbentuklah kerajaan sementara atau caretaker government. Kerajaan sementara ini memerintah sehinggalah kerajaan baru ditubuhkan selepas pilihan raya umum (PRU).

Kerajaan sementara ini mempunyai dua fungsi utama. Pertama, memastikan semua parti yang bertanding mendapat layanan yang sama rata. Kedua, perlu berkecuali bagi mewujudkan pilihan raya yang bebas dan adil.

Bagi melaksanakan fungsi ini, negara kita tidak mempunyai panduan yang jelas, namun amalan konvensyen di negara-negara Komanwel yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen menggariskan beberapa perkara yang mesti dielakkan oleh kerajaan sementara ini.

Ini kerana kuasanya sangatlah minimum kerana tidak mempunyai mandat rakyat.

Kerajaan sementara tidak boleh mengambil tindakan berikut:

  • Membuat sebarang keputusan dasar utama yang akan mengikat kerajaan masa depan.

  • Membuat kontrak utama.

  • Membuat janji penting.

  • Melakukan lawatan antarabangsa untuk mengelakkan perjanjian antarabangsa yang dapat mengikat kerajaan baharu.

  • Menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen kepartian.

Selain itu, kerajaan sementara juga tidak boleh membuat sebarang aktiviti berbentuk kempen yang boleh menjejaskan sifat adil dan berkecuali sesebuah kerajaan demokratik.

Perkara-perkara tersebut termasuklah:

  • Kempen penerangan dan iklan yang berkaitan dengan slogan kepartian sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

  • Media milik kerajaan hanya menyiarkan maklumat pentadbiran bukannya untuk menyokong mana-mana parti politik.

  • Premis kerajaan tidak boleh digunakan bagi tujuan kempen, mengadakan sidang media dan seumpamanya.

  • Lawatan menteri ke pejabat-pejabat kerajaan hanya terhad untuk urusan rutin pentadbiran, bukan untuk tujuan politik.

  • Anggota perkhidmatan awam tidak boleh menggunakan sumber milik kerajaan atau kedudukannya untuk menyokong isu atau parti tertentu sewaktu kempen pilihan raya.

  • Pegawai kerajaan perlu mengelakkan dari memberikan maklumat yang hendak digunakan untuk kempen pilihan raya.

Sementara itu biarpun tidak ada garis panduan, kod tatakelakuan dan Akta Parlimen, kerajaan sementara perlu bertindak adil kerana ini akan menentukan persepsi kualiti pilihan raya sesebuah negara.

Laporan perceptions of electoral integrity index (PEI) telah membuktikan negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan mempunyai garis panduan dan kod etika kerajaan sementara seperti Australia, New Zealand, Belanda dan Sweden mempunyai kualiti serta integriti pilihan raya yang tinggi berbanding negara yang tidak mempunyainya.

Justeru, bagi negara kita yang tidak mempunyai garis panduan tersebut, perlu dingat satu perkara iaitu konvensyen menetapkan kuasa kerajaan semnetara adalah sangat minimum.

Dari bumi Garontalo, Indonesia saya berharap semoga PRU kita kali ini berlangsung dalam suasana integriti yang tinggi.


MOHAMMAD AGUS YUSOFF merupakan seorang penganalisis politik yang juga bekas profesor dalam bidang sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.