Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno Perlis serah nama calon pada pucuk pimpinan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Azlan Man berkata senarai calon Umno Perlis telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk pertimbangan.

“Kita di peringkat Umno negeri telah mengemukakan lima nama pada setiap kerusi berkenaan pada peringkat Parlimen dan juga DUN,” katanya, petik Bernama.

Azlan menjelaskan dalam senarai nama itu terdapat muka lama, muka baru dan anak muda.

Ditanya sekiranya nama Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin tersenarai, Azlan berkata: “Semua nama wakil rakyat yang ada ialah calon-calon, bersama-sama empat atau lima lagi calon.”

Sementara itu, Azlan yang juga menteri besar Perlis memaklumkan akan mempersembahkan tarikh pembubaran DUN untuk mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam masa terdekat.

“Saya akan mempersembahkan tarikh yang bersesuaian supaya Pilihan Raya Negeri dapat dilakukan bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” kata Azlan.

Azlan juga dipetik Bernama berkata sidang DUN Perlis yang dijadualkan pada Khamis ini akan diteruskan untuk membahaskan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis iaitu Enakmen Anti-Lompat Parti agar bersesuaian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Sidang khas DUN itu perlu dilakukan bagi mengelakkan isu percanggahan perundangan,” katanya yang berharap pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri itu akan terpakai pada wakil rakyat yang dipilih pada PRU15 kelak.