KJ: Belanjawan 2023 bukan manifesto, bukan juga sia-sia
Belanjawan 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu tidak seharusnya dilihat sebagai manifesto pilihan raya, mahupun pembentangannya sia-sia, menurut menteri kesihatan sementara Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob komited untuk membentangkan semula belanjawan tersebut jika dia menerima mandat rakyat dalam PRU15.
"Saya tak rasa ia sia-sia. Rakyat tahu ia akan dibawa semula oleh Ismail Sabri selaku calon perdana menteri BN jika dia dapat mandat dari rakyat," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Dia ditemui dalam acara pelancaran buku bertajuk ‘An Overview of Disaster Life Support In Disaster Management’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Khairy berkata lagi, semua perkara dalam pembentangan yang dibuat menteri kewangan adalah perbelanjaan yang telah diperuntukkan.
"Ia bukan manifesto yang berdasarkan janji sahaja, itulah perbezaan antara belanjawan dan manifesto," katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali menyifatkan pembentangan Belanjawan 2023 sebagai sia-sia.
“Pembentangan Belanjawan 2023 adalah sia-sia, membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas pulas untuk mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai