ULASAN | Machiavellian, Brutus dan langkah tikam belakang
ULASAN | Pada petang Khamis 6 Okt 2022, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terselamat dalam “sepak terajang silat politik” Malaysia.
Tanpa memuji berlebihan, ternampak kebijaksanaan anak Temerloh yang menjadi Ahli Parlimen Bera mengatur langkah sebijak Tok Bahaman, apabila dia tidak terburu-buru mempersembahkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan parlimen pada pertemuan itu.
Ertinya perdana menteri dapat mengelak daripada menanggung malu seperti dialami oleh Muhyiddin Yassin apabila permohonannya yang pertama untuk pengisytiharan darurat ditolak Agong.
Ismail Sabri mungkin telah belajar sesuatu daripada sejarah.
Pada 6 Okt, perdana menteri kesembilan itu mungkin mendapat maklumat bahawa 12 orang menteri dari Perikatan Nasional (PN) telah menghantar surat atau warkah ke Istana Negara memohon Agong supaya menolak permintaan untuk pembubaran parlimen.
Jadi apabila perdana menteri tidak membincangkan soal pembubaran parlimen dengan Agong pada petang 6 Okt, maka menteri-menteri PN itu telah terlajak langkah.
Anak-anak muda di luar sana menyebut keadaan sedemikian sebagai kantoi.
Kelihatan tersipu-sipu
Dalam hal ini Ismail Sabri bertindak selamat dan cermat dengan menunggu masa melancarkan serangan balas terhadap 12 orang pemimpin PN yang menikamnya dari belakang.
Dua belas menteri PN itu sekarang jelas dari segi sejarah telah memperlihatkan politik Machiavellianisme dan politik Brutus.
Peribahasa Melayu menyatakan, terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak warkah ke Istana Negara, berat padahnya.
Ismail Sabri mungkin mengurut dada bersabar melihatkan 12 orang menteri PN itu - yang diangkat olehnya kepada Agong supaya dilantik menjadi menteri - bertindak seperti Brutus menikam belakang Julius Ceaser.
Ismail Sabri sebagai perdana menteri kelihatan bersemangat dan tidak malu-malu apabila hadir di parlimen petang 7 Okt ini untuk sidang pembentangan Belanjawaan 2023.
Yang kelihatan malu tersipu-sipu ialah 12 Brutus yang menghantar warkah kepada Agong.
Adakah patut mereka itu duduk di pihak kerajaan bersama perdana menteri di blok eksekutif dalam Dewan Rakyat selepas mereka menikam perdana menteri dari belakang?
Tidakkah mereka sedar bahawa tindakan mereka menulis dan menandatangani surat hitam putih kemudian dipersembahkan kepada Agong adalah satu representasi bahawa mereka telah melanggar prinsip tanggungjawab bersama jemaah menteri seperti yang dikehendaki di dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan?
Ismail Sabri Yaakob tentu tidak menuntut kesemua 12 menteri PN itu segera meletakkan jawatan. Kenapa?
Kerana majoriti Ismail Sabri di Dewan Rakyat sangat tipis. Kalau perdana menteri mencabar 12 menteri itu meletakkan jawatan dan cabaran itu disambut, tumbanglah kerajaan hibrid BN/PN dan timbul pula krisis baru pada 6 Okt.
Kesannya tidak sempat Belanjawan 2023 dibentangkan pada 7 Okt.
Jadi pada 6 Oktober itu, Ismail Sabri terpaksa berjiwa besar dengan berkata seperti dirakam di kaca televisyen bahawa semua orang termasuk 12 menteri PN boleh menghantar surat kepada Agong.
Tetapi Ismail Sabri yang pernah menjadi peguam sebelum ini mungkin memahami bahawa dalam konvensyen perlembagaan, apa yang dilakukan oleh 12 menteri itu adalah salah walaupun bertujuan baik iaitu untuk menghalang pembumbaran parlimen bagi mengelakkan risiko banjir sewaktu PRU.
Mengapakah ia salah?
Kerana 12 orang menteri PN itu telah melanggar konvensyen perlembagaan dengan mendahului perdana menteri dalam soal mempersembahkan nasihat kepada Agong.
Tidak ada pilihan lain
Apa yang dilakukan ole 12 menteri PN itu adalah contoh politik tujuan menghalalkan cara seperti yang dilakukan oleh ahli-ahli politik Machiavellian.
Jadi apa yang wajar - dari segi konvensyen - patut dilakukan oleh 12 orang menteri itu?
Jawapannya ialah, mereka - yang telah terlondeh dan telanjang bulat pada petang 6 Okt itu - sepatutnya meletakkan jawatan seperti yang dilakukan oleh menteri British yang tidak bersetuju dengan Boris Johnson yang menjadi perdana menteri ketika itu.
Pada tengah hari sambutan Maulidur Rasul 9 Okt lalu, Ismail Sabri sekali lagi mengadap Agong. Drama sandiwara politik Malaysia bersambung semula.
Kali ini Ismail Sabri ada alasan yang kukuh untuk memohon baginda supaya memperkenankan parlimen dibubarkan. Alasannya ialah warkah yang ditandatangani oleh 12 orang menteri PN adalah bukti nyata dia telah hilang legitimasi atau keabsahan di parlimen.
Justeru, dalam keadaan sedemikian Agong tiada pilihan lain kecuali memperkenankan pembubaran parlimen untuk memberi laluan kepada PRU ke-15 diadakan.
Kemudian pada 10 Okt dalam perutusan khasnya perdana menteri mengumumkan parlimen ke-14 dibubarkan. Dia ada menyebut “kerajaan pintu belakang” dan “kerajaan tebuk atap”. Bertambah kayalah istilah-istilah buruk dalam kamus politik Malaysia.
Ismail Sabri dan pemimpin Umno mendapat alasan yang cukup baik untuk mengelakkan kemarahan rakyat. Rakyat rata-ratanya marah tindakan pembubaran parlimen yang awal untuk mengadakan PRU ke-15 ketika negara berdepan risiko musim monsun Timur Laut.
Ismail Sabri dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sekarang cuba secara bulat-bulat menyalahkan 12 orang menteri PN yang mengutus warkah kepada Agong sebagai punca parlimen dibubarkan.
Pemimpin-pemimpin Umno itu seperti membaling batu dan menyembunyikan tangan, namun rakyat secara umumnya tidak akan mudah lupa dan tertipu dengan sandiwara mereka.
Sebenarnya, Ahmad Zahid, Majlis Kerja Tertinggi Umno, dan tubuh badan Umno itu keseluruhannya - termasuklah Ismail Sabri - secara bersama bertanggungjawab memikul kesalahan memaksakan PRU diadakan dalam keadaan ancaman banjir besar musim tengkujuh yang diramal tiba beberapa minggu lagi.
Tindakan Umno-BN keseluruhannya adalah tidak bermoral kerana memperjudikan nyawa dan keselamatan rakyat demi mengejar kuasa. Merekalah yang sebenarnya golongan ahli politik Machiavellian yang terburuk di Malaysia sekarang.
Pemimpin-pemimpin Umno itu adalah Brutus yang menikam belakang rakyat.
HASSAN ABDUL KARIM ialah penyandang kerusi parlimen Pasir Gudang, Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai