Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi ulangi dakwaan Jho Low perkenalkannya pada Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BICARA 1MDB l Seorang bekas pengarah bukan eksekutif AmBank mengulangi keterangannya bahawa ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho (Jho Low) memperkenalkannya kepada perdana menteri ketika itu Najib Razak pada 2011.

Cheah Tek Kuang memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur demikian semasa perbicaraan kes rasuah penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB terhadap Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan.

Pada 17 Julai 2019 semasa kes rasuah RM42 juta SRC International yang berasingan yang dihadapi Najib, Cheah memberi keterangan bahawa Low membawanya ke rumah tertuduh 11 tahun lalu.

Cheah Tek Kuang

Semasa prosiding 1MDB di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah pagi ini, Cheah menjawab demikian semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram.

Sebelum ini semasa perbicaraan yang sama, Cheah memberi keterangan bahawa dia dan Low berada dalam kereta berasingan yang membentuk konvoi menuju ke rumah Najib di Langgak Duta di Kuala Lumpur pada awal 2011.

Sri Ram: Bolehkah kamu jelaskan kepada Yang Arif (Sequerah) bahawa semasa kamu tiba (di rumah Najib), adakah Jho Low ada di sana (di rumah) atau adakah dia bersama kamu?

Cheah: Dia di dalam kereta yang berasingan (dalam konvoi sama). Apabila saya berjalan ke rumah, dia (Low) memperkenalkan saya kepada Najib.

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata bahawa dia kemudian ke bahagian lain di rumah Najib daripada Low, dan dia menyedari ahli perniagaan itu ditemani oleh beberapa orang lain.

Cheah menambah bahawa selepas mendapat tandatangan Najib pada borang untuk membuka akaun bank dengan AmBank, dia kemudian meninggalkan rumah itu dengan dokumen pembukaan akaun.

Sebelum ini, saksi itu memberi keterangan bahawa semasa berada di rumah berkenaan, Najib yang ketika itu adalah perdana menteri memberitahunya bahawa dia mahu membuka akaun bank untuk menerima derma AS$100 juta daripada Arab Saudi.

Najib Razak

Prosiding di hadapan hakim Sequerah bersambung hari ini.

Najib, 69, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

[Baca berita penuh]