Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Klang saman PM, mohon halang SPR adakan PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago, memohon perintah mahkamah untuk menghentikan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) daripada diadakan tahun ini.

Dalam saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, ahli parlimen DAP itu menamakan perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa permohonan Ismail Sabri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah bercanggah dengan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Charles, permintaan (untuk membubarkan Parlimen) tidak dibuat atas nasihat kabinet, dan oleh itu, terbatal dan tidak sah.

Dia juga memohon perintah bahawa pembubaran Parlimen tidak mengikut Perkara 55(2) dan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan, dan perintah untuk menghalang SPR daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan pilihan raya.

Selain itu, Charles juga menuntut kos dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam afidavit itu, Charles memetik musim tengkujuh dan risiko banjir seterusnya sebagai alasan untuk menghalang pilihan raya.

“Kawasan saya di Klang, yang mempunyai 210,662 pengundi, adalah antara yang paling teruk dilanda banjir Disember lalu, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 54 terkorban, dan sekurang-kurangnya 71,000 orang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Charles seterusnya mengambil maklum amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai risiko banjir semasa musim tengkujuh pada November dan Disember.

Hanya Umno mahu PRU

Dalam afidavit itu, Charles menegaskan bahawa banyak parti politik, kecuali Umno, menentang mengadakan pilihan raya tahun ini, kerana risiko banjir.

“Malah, 12 menteri daripada PAS dan Perikatan Nasional telah menulis surat kepada Agong, menyatakan tidak bersetuju dengan pilihan raya yang diadakan tahun ini.

“Satu-satunya parti yang mahu pilihan raya diadakan secepat mungkin ialah Umno,” katanya.

Dengan ahli Parlimen Umno yang hanya berjumlah 37 daripada 222 di Dewan Rakyat, sokongan kepada pembubaran Parlimen hanya menyumbang kira-kira 17 peratus daripada ahli Parlimen, tambahnya.

Justeru, Charles mempersoalkan kesahihan permohonan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen.

“Permintaan itu boleh dibuat kemudian, memandangkan penggal Parlimen ke-14 hanya berakhir pada 16 Julai 2023.

“Bagaimanapun, atas sebab yang tidak diketahui, defendan pertama (Ismail Sabri) meminta (pembubaran Parlimen) begitu hampir dengan musim banjir, yang boleh menjejaskan hak pengundi untuk membuang undi,” kata Charles.

Dalam satu kenyataan kemudian, Charles berkata beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang kerana surat berulang kalinya kepada SPR untuk meminta rancangan tebatan banjir tidak diendahkan.

"Memandangkan alasan di atas, saya amat percaya bahawa nasihat Ismail Sabri kepada Agong adalah terbatal. Akibatnya, saya juga percaya pembubaran Parlimen tidak mempunyai kesan undang-undang.

"[Dengan memfailkan saman pemula] saya ingin menyatakan secara mutlak bahawa saya tidak mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong tetapi hanya nasihat yang diberikan oleh Ismail."

Peguam Surendra Ananth mewakili Charles dalam kes itu, dan perbicaraan telah ditetapkan di hadapan Hakim Ahmad Kamal pada 29 Okt di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]