Skip to main
Logo Malaysiakini

Warisan terbuka kerjasama dengan parti Sabah saja

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Parti Warisan sedang mencari "reset" politik di Sabah dan hanya akan bekerjasama parti yang berpusat di negeri itu sahaja.

Bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini, presiden parti Mohd Shafie Apdal berkata kerjasama itu masih belum dimuktamadkan.

Sekiranya tiada sebarang perubahan, Warisan akan meletakkan calon bagi semua 25 kerusi parlimen di Sabah dan satu kerusi di Labuan.

Bagaimanapun, Shafie membayangkan masih ada peluang "sesuatu untuk berlaku".

"Kemungkinan besar kita akan bertanding 25 kerusi (di Sabah) kecuali ada sesuatu perkara yang berlaku. We can make some adjustment (Kita boleh buat perubahan)," katanya.

Kenyataan Shafie hari ini mengesahkan Warisan tidak berminat untuk meneruskan pakatan dengan Pakatan Harapan (PH) seperti yang dilakukan semasa pilihan raya umum (PRU) 2018 dan pilihan raya negeri Sabah 2020.

Hubungan antara Warisan dan PH menjadi keruh selepas mereka memperoleh perjanjian keyakinan dan bekalan dengan perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob pada 2021.

Shafie menambah, Warisan berminat di beberapa kerusi di tujuh negeri di Semenanjung Malaysia - Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Selangor, Johor, Perak dan Kelantan.

Dia berjanji bahawa Warisan akan mencalonkan calon yang "sangat profesional".