Skip to main
Logo Malaysiakini

'Walau dicerca, PAS tak putus asa teruskan Muafakat Nasional'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Meskipun dicerca dan dimomokkan Umno dalam usaha memulihkan Muafakat Nasional (MN), ia nampaknya tidak mematahkan semangat PAS untuk meneruskan kerjasama itu.

Perkara itu disuarakan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyatakan pihaknya tetap tidak akan berputus asa dengan MN dan akan terus berusaha melakukan rundingan demi matlamat itu.

Jelas Ahmad Samsuri, kenyataan PAS sebelum ini supaya perlu menolak pihak yang medesak agar PRU15 diadakan segera dibuat ekoran kenyataan Umno berkenaan perkara itu dan ia tidak menggambarkan keadaan dalam MN.

"Itu kenyataan mereka terhadap PRU.

"Tetapi isu perundingan, perbincangan (untuk MN kami) masih lagi berusaha walaupun bermacam cercaan dan momokan diberikan kepada kami, tapi kami tak akan berputus asa.

"Kita akan berusaha, kalau tidak boleh semua kita tak tolak semua. Kalau kita boleh selesai satu, kita selesai satu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri di Terengganu, hari ini.

Mengulas nasib MN di Terengganu, Ahmad Samsuri yang juga menteri besar berkata pendirian PAS kekal bahawa hubungan itu tidak akan terkubur.

"Sama juga sikap kita bahawa kita tak mengatakan kita menguburkan MN. Kalau ada pihak lain yang menguburkan MN itu adalah masalah mereka, bukan di pihak PAS," katanya.

Pada 3 Oktober lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang usaha untuk memulihkan MN mestilah berpandukan kepada apa yang disifatkannya sebagai prinsip dan semangat asal piagam itu.

"Namun, Umno tidak sesekali dapat menerima mereka yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap dengan menjadikan BN sebagai musuh utama mereka," katanya, dipercayai merujuk kepada Bersatu yang bersama-sama PAS dalam Perikatan Nasional (PN).