Bubar DUN: Keputusan berdasarkan konsensus 3 negeri - PH
PH akan memutuskan sama ada negeri yang ditadbirnya akan mengadakan pilihan raya peringkat negeri serentak dengan PRU15 atau tidak.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, keputusan yang dibuat akan berdasarkan konsensus ketiga-tiga negeri, iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.
Ketika diminta menjelaskan jika keputusan PH akan berbeza mengikut negeri, dia berkata tidak.
"Tidak, inilah prinsip yang kita cuba capai," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.
Ia selepas DAP Pulau Pinang mencadangkan agar keputusan untuk menangguhkan pilihan raya peringkat negeri selepas musim tengkujuh dibatalkan.
Terdahulu, Majlis Presiden PH memutuskan DUN di negeri yang ditadbir gabungan itu tidak akan dibubarkan sehinggalah musim tengkujuh berakhir.
Loke berkata mesyuarat hari ini adalah untuk membincangkan cadangan DAP Pulau Pinang itu.
Namun, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata keputusan tidak dicapai dalam mesyuarat hari ini.
"Setakat ini masih terikat dengan keputusan sebelumnya (untuk tidak membubarkan DUN).
"Namun kita minta (negeri agar) ia dibincang semula secara terperinci dengan pimpinan parti masing-masing supaya ada persefahaman.
"Kita (Majlis Presiden) ada garis (panduan) besar. Kemudian parti dan negeri mestilah diberi ruang untuk perbincangan dan berikan pandngan pada kita dalam tempoh yang singkat," katanya.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata keputusan sama ada tiga negeri tersebut akan turut mengadakan pilihan raya peringkat negeri serentak dengan PRU15 akan diumumkan dalam tempoh 48 jam.
"Kita ada berbincang tentang perkara itu dan searang ini ada beberapa perkara khusus sedang diteliti.
"InsyaAllah dalam masa terdekat, kepimpinan PH sama ada Majlis Presiden atau kepimpinan peringkat negeri akan buat pengumuman," katanya.
Sementara itu, Loke berkata DAP akan mengadakan perbincangan berkenaan perkara itu malam esok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai