ULASAN | Terang, gelap Parlimen ke-14
ULASAN | Bercerita tentang parlimen bukanlah topik yang semestinya popular. Sesetengah orang menganggap parlimen adalah tempat untuk orang kayangan bersenang-lenang tanpa perlu menghiraukan nasib rakyat.
Faktanya, pemikiran sebegitu adalah kesan hegemoni Umno-BN yang mengawal majoriti dua per tiga Dewan Rakyat selama hampir 60 tahun. Dengan penguasaan majoriti mutlak, BN membuat keputusan tanpa mengambil kira pandangan rakyat.
Atau dalam bahasa lebih mudah, parlimen ketika itu hanyalah ‘rubber stamp’.
Hakikatnya parlimen adalah tempat kerajaan dibentuk secara demokratik, tempat peruntukan dan bantuan rakyat diluluskan, dan institusi yang menentukan hala tuju negara.
Tanpa institusi parlimen yang demokratik, pentadbiran negara hanya menguntungkan beberapa kerat orang saja. Dan, agenda reformasi parlimen adalah usaha memastikan institusi itu terus berfungsi buat rakyat.
Perdebatan mengenai pembaharuan parlimen mendapat perhatian rakyat semula apabila BN gagal mendapat majoriti dua per tiga kali pertama iaitu pada 2008. Kesedaran itu terus meningkat apabila kebobrokan BN dan Najib Razak menekan fungsi parlimen dalam meneliti skandal 1MDB yang turut mencalarkan integriti negara di mata dunia.
Kesedaran kian meningkat
Pertukaran kerajaan persekutuan buat pertama kalinya pada 2018 melalui PRU ke-14 menyaksikan agenda reformasi parlimen dilaksanakan secara meluas oleh Pakatan Harapan (PH).
Parlimen ke-14 membuka lembaran baru landskap politik negara. Pertama, kerjasama dwipartisan menjadi kunci kepada kejayaan dasar di parlimen. Ketiga-tiga kerajaan dibentuk selepas PRU ke-14 tidak mempunyai majoriti dua per tiga.
Namun, pindaan Perlembagaan Persekutuan seperti Undi18, pendaftaran automatik pengundi dan akta menghalang ahli parlimen bertukar parti diluluskan dengan dengan sokongan dua per tiga ahli, sama ada dalam kalangan penyokong kerajaan atau pembangkang.
Lebih menarik lagi, kesemua pindaan itu diluluskan melalui perbincangan konstruktif antara blok kerajaan dan pembangkang. Keadaan itu berbeza sekali dengan amalan sewaktu era hegemoni Umno-BN di parlimen.
Kedua, kesedaran orang awam mengenai kepentingan parlimen kian meningkat. Sebahagian rakyat - khasnya anak muda - mula sedar betapa pentingnya proses perbahasan dan semakan isu-isu penting di parlimen agar kerajaan lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.
Hal itu kerana rakyat sudah merasai kesan buruk pentadbiran lemah seperti era pimpinan Muhyiddin Yassin yang tidak melalui mekanisme semak dan imbang ketika pandemik sehingga berlaku kecuaian dalam membantu rakyat yang memerlukan.
Berlaku juga insiden ‘antara dua darjat’ apabila menteri yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak dihukum, sebaliknya rakyat pula dikenakan tindakan yang berat.
Percaturan politik segelintir orang juga memburukkan lagi kedudukan parlimen. Kemarahan rakyat kian bertambah disebabkan wakil rakyat melompat parti dan memanipulasi institusi parlimen.
Lebih membimbangkan apabila terdapat sebahagian pemimpin negara yang berfikiran ‘antidemokratik’, iaitu cuba meminggirkan parlimen dalam mentadbir negara.
Kecuaian seorang menteri
Peranan parlimen diperlekehkan agar perdana menteri dan kabinetnya terus berkuasa tanpa tekanan daripada pihak lawan.
Bibit ‘antidemokratik’ itu muncul di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin. Ia bermula pada pada 13 Julai 2020 dengan penukaran Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Yusof dan menggantikannya dengan Azhar Harun atas alasan yang tidak munasabah.
Kedua, kerajaan Muhyiddin menukar Setiausaha Dewan Rakyat yang baru dilantik tidak sampai tiga bulan, Riduan Rahmat, dan digantikan dengan bekas pegawai di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nizam Mydin.
Ia berlaku selepas Riduan menerima usul undi tidak percaya yang dibawa beberapa ahli parlimen ke Dewan Rakyat untuk Muhyiddin.
Ketiga, menggantung fungsi parlimen akibat pelaksanaan darurat dari 12 Jan hingga 1 Ogos 2021. Umum melihat langkah itu adalah untuk memastikan kedudukan Muhyiddin selaku perdana menteri tidak tergugat.
Proklamasi darurat juga telah menghalang dewan undangan negeri bersidang dalam tempoh pandemik.
Kita juga perlu ingat bagaimana kecuaian Takiyuddin Hassan - semasa menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) - dengan memberi jawapan tidak tepat berkenaan pembatalan Ordinan Darurat sehingga menjadi punca konflik di antara kerajaan, parlimen, dan Yang di-Pertuan Agong.
Peristiwa gelap parlimen ini akhirnya memaksa Muhyiddin melepaskan jawatan perdana menteri dan digantikan dengan Ismail Sabri Yaakob melalui sokongan akuan bersumpah (SD), bukannya undi percaya di parlimen.
Rakyat terus dipinggirkan
Pembubaran parlimen ke-14 pada 10 Okt lalu membuktikan agenda perubahan parlimen yang amat penting, iaitu membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen.
RUU itu merupakan ‘ibu’ kepada agenda reformasi parlimen kerana ia mengehadkan campur tangan perdana menteri dalam pentadbiran institusi berkenaan.
Maksudnya, parlimen diberikan kuasa autonomi untuk mentadbir, menguruskan kewangan sendiri, dan tidak lagi duduk sebagai sebuah 'jabatan’ di bawah JPM seperti sekarang.
Malangnya, RUU Perkhidmatan Parlimen ini gagal dibentang dan diluluskan. Persoalannya, apakah RUU itu akan diluluskan kerajaan baru selepas PRU15?
Suka atau tidak, perubahan parlimen juga bergantung kepada kesanggupan politik (political will) sesebuah kerajaan. Jika rakyat memilih pemimpin dan parti yang menyokongan agenda perubahan ekonomi dan institus untuk membentuk kerajaan, sudah pasti pemerkasaan parlimen dapat diteruskan.
Jika sebaliknya, parlimen akan kekal menjadi alat kepada badan eksekutif berkuasa dan terus meminggirkan kepentingan rakyat.
Perjalanan parlimen ke-14 boleh dijadikan sandaran dan iktibar buat pengundi membuat keputusan bermakna dalam PRU akan datang.
Apa yang penting, agenda reformasi parlimen adalah agenda nasional yang harus disokong oleh semua. Dan, perubahan parlimen tidak seharusnya bersifat kosmetik.
FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai