Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih gesa tempoh kempen dilanjutkan ke 21 hari

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Badan pemantau pilihan raya, Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melanjutkan tempoh berkempen sehingga 21 hari bagi memastikan undi pos di luar negara dapat diterima pada hari pengundian.

"(Selain) Pelaksanaan Undi18, Pendaftaran Pemilih Secara Automatik dan hak undi pos untuk semua rakyat Malaysia di luar negara, SPR wajib menetapkan minimum 21 hari tempoh kempen agar undi pos dapat sampai pada hari pengundian.

"Jika tidak, sia-sialah hak pengundi pos luar negara namun menafikan masa untuk mereka turut serta,” kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bersih perkara itu merupakan salah daripada lima fokus utama daripada Kempen Ketuanan Pengundi yang dijalankan badan itu.

"Kami juga menggesa undi awal kepada pengundi luar kawasan terutamanya pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja dan belajar di Semenanjung serta pengundi Malaysia Barat di Sabah dan Sarawak," jelasnya.

SPR akan mengumumkan tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 20 Okt ini.

Pada 11 Okt lepas, Global Bersih turut membuat gesaan serupa memandangkan rakyat Malaysia di luar negara masih perlu mendaftar sebagai pengundi pos walaupun pendaftaran pengundi secara automatik telah diperkenalkan.

Beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri yang lalu menyaksikan SPR menetapkan tempoh berkempen selama dua minggu.

Selain itu, Bersih berkata empat fokus utama lain ialah menghentikan pendakwaan terpilih, memperkasakan parlimen, menolak rasuah dan menstabilkan politik.

"Bersih akan melancarkan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan peratusan turun mengundi, sebagai contoh kempen #UndiMasaDepan dengan video pendek dan poster bagi menggalakkan rakyat turun mengundi.

"Kami juga sedang merekrut Pemantau Pilihan Raya untuk memantau dan melaporkan kesalahan pilihan raya,” katanya.

Tambahnya, sebagai usaha mengutip sumbangan PRU15, Bersih juga akan melancarkan buku pertama, Making Democracy Work – Institutional Reforms for Malaysia dalam tempoh dua minggu lagi.

"Buku ini adalah kumpulan 16 laporan kajian yang kami hasilkan dalam tempoh dua tahun dan mempunyai cadangan penting bagi memperbaiki sistem politik kita yang sedang rosak," jelasnya.