Skip to main
Logo Malaysiakini

Jomo: Pembangkang yang 'serius' boleh berpakat walau ada perbezaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram berpandangan bahawa parti pembangkang masih boleh bekerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 meskipun mempunyai perbezaan.

Jomo yang pernah menjadi ahli majlis penasihat kerajaan ketika Pakatan Harapan (PH) memegang pentadbiran tidak menolak terdapat parti pembangkang yang bertujuan memecah belahkan barisan pembangkang.

Namun, tambahnya, pembangkang yang serius perlu meminggirkan perselisihan untuk membentuk satu barisan.

“Memang ada pihak pembangkang yang sebenarnya tujuan mereka untuk pecah belahkan pembangkang.

“Jadi selain daripada mereka ini, mereka (parti pembangkang) yang serius ini sepatutnya mencari jalan untuk bersatu padu. Dan dengan ini, ia boleh dicapai melalui persefahaman pilihan raya.

“Kalau mereka serius untuk beri pilihan pada rakyat jelata dan masyarakat, mereka patut kerjasama dan menghormati perbezaan-perbezaan yang ada untuk pastikan kemenangan dan menawarkan satu alternatif kepada orang ramai,” katanya.

Jomo berkata antara langkah lain yang boleh dilakukan adalah mewujudkan satu barisan, pakatan atau muafakat antara pembangkang, tetapi memandangkan ia akan mengambil banyak masa dan persetujuan oleh banyak pihak, langkah lain seperti persefahaman pilihan raya dapat dicapai.

“…ada banyak jenis persefahaman pilihan raya. Yang paling tinggi tu (adalah) electoral pact ataupun perjanjian pilihan raya tetapi keadaan masa sudah suntuk.

“Jadi mereka sepatutnya meninggalkan perselisihan yang ada di kalangan mereka. Dan sudah tentu masing-masing ada perselisihan itu,” katanya.

Parti pembangkang ada tiga minggu

Sementara itu, bekas ahli parlimen Kuala Terengganu Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengingatkan parti-parti pembangkang bahawa mereka hanya mempunyai masa tiga minggu untuk mencari formula bersama untuk menghadapi BN dalam PRU15.

Senada dengan penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff pada dua hari lalu, bekas Adun Batu Burok itu berkata, tidak mustahil BN akan dapat mentadbir semula Putrajaya sekiranya pihak pembangkang gagal mencari penyelesaian tentang pakatan pilihan raya antara mereka.

“Pilihan raya kalau diadakan dalam masa tiga minggu ni, dan kalau pembangkang tak mencari formula electoral pact, maka sekurang-kurangnya kemungkinan besar akan kembalinya golongan kleptokrat khususnya pemimpin-pemimpin Umno, dan tadbir di negara kita kembali,” kata bekas pemimpin PAS itu.

Agus sebelum ini berkata pembangkang tidak boleh menyalahkan orang lain - termasuk rakyat - kecuali diri mereka sendiri jika BN kembali mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dia mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) dan Warisan, duduk bersama dan berbincang dan fikirkan tentang pakatan pilihan raya, bukannya berhubung khemah besar.

Mengulas lanjut, Syed Azman berkata dengan suasana politik negara yang sedang berkecamuk , ditambah pula dengan pilihan raya yang bakal diadakan dengan keadaan yang begitu tergesa-gesa, banyak kebimbangan yang boleh berlaku.

“Bila timbul soal khemah besar, banyak pandangan-pandangan yang menyokong dan membangkang.

“Tapi akhirnya kita lihat tak ada apa-apa yang keluar (hasil) daripada yang disebut oleh khemah besar itu sendiri,” katanya.

Menyuarakan kebimbangannya terhadap masa depan negara, Syed Azman berkata apa yang sepatutnya menjadi tunjang utama pemimpin politik adalah demi menyelamatkan negara.

“Jadi pemimpin-pemimpin politik sepatutnya fikirkan macam mana nak selesaikan kemelut yang kita hadapi - kesan ekonomi dan krisis politik.

“Pilihan raya dah empat tahun lepas, tapi sejak habis pilihan raya sampai sekarang tak habis-habis berpolitik.

“Yang menderita sekarang rakyat bawahan secara umumnya, di mana sepatutnya pemimpin politik lihat dari perspektif ini,” katanya.