Skip to main
Logo Malaysiakini

Jho Low kekal 'kebal', mungkin ada syarikat baru pesisir BVI - wartawan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua wartawan dan pakar mengenai Jho Low mendakwa ahli perniagaan dalam buruan itu kekal 'kebal' daripada tindakan undang-undang malahan mungkin telah menubuhkan syarikat perniagaan baru.

Menurut Bradley Hope dan Tom Wright dalam video YouTube terbaru mereka hari ini, Jho Low mungkin telah memperbadankan sebuah syarikat baru di British Virgin Islands.

Mereka berkata jejak dokumen menunjukkan JinWeiJing Business Consulting, sebuah entiti yang dikenali sebagai syarikat induk keluarga Low, telah menukar namanya kepada GuiYue Business Consulting dan pemilikannya baru-baru ini dipindahkan kepada entiti BVI bernama Grace Zenith Limited.

GuiYue mempunyai alamat perniagaan di Pusat Kewangan Dunia Shanghai - sebuah bangunan pencakar langit setinggi setengah kilometer dan merupakan pusat perniagaan ikonik di China.

Pemilik baru syarikat Grace Zenith, mempunyai sumbangan modal langganan sebanyak US$333 juta dalam GuiYue, dan wartawan berkenaan mengesyaki wang itu berasal daripada 1MDB.

"Jadi apa yang kami dapati ialah bukan sahaja syarikat tersebut baru-baru ini menukar namanya, jadi Jinweijing kini dipanggil Guiyue Business Consulting.

"Mereka menukar pemilikan, Jho Low dan Seet (Li Lin) telah dikeluarkan nama mereka. Hak milik ditukar kepada syarikat British Virgin Islands bernama Grace Zenith Limited.

"Itu dengan serta-merta menimbulkan syak dalam fikiran kami, kerana kami tahu bagaimana Jho Low menyukai syarikat luar pesisir BVI," kata Hope.

Hope dan Wright, yang menulis buku Billion Dollar Whale mengenai skandal membabitkan Low, telah secara aktif dan terbuka mengikuti jejak ahli perniagaan itu serta cuba mengesan lokasinya di bawah inisiatif yang dipanggil 'Project Brazen'.

Mengulas lanjut, Hope berkata semakan mendedahkan bahawa Grace Zenith telah membayar US$333 juta untuk mengambil alih GuiYue, yang didakwanya sebagai sesuatu yang "sangat jarang" berlaku.

"Ini menunjukkan kepada kita bahawa ini adalah salah satu firma utama Jho Low yang mempunyai wang berasal dari 1MDB."

Wartawan itu mendapati Grace Zenith juga memiliki lebih banyak syarikat dan mereka melihat kemungkinan mengesan lebih banyak entiti yang digunakan Jho Low untuk meletakkan wang 1MDB.

Sementara itu, Wright menyifatkan penemuan terbaru mereka sebagai "cabang utama" dalam kerja penyiasatan mereka, yang menunjukkan bagaimana Low didakwa dibenarkan beroperasi secara bebas di China.

"Minggu lalu kami melaporkan bahawa sumber yang sangat bagus di China memberitahu kami bahawa Jho Low pada dasarnya boleh bergerak tanpa halangan di sana.

"Dan akan ada lebih banyak bukti tentang itu?

"Sebab dia dikatakan boleh pergi ke pusat kewangan di Shanghai dan mempunyai pejabat di sana," katanya.

Mereka juga telah menghantar e-mel ke alamat yang disenaraikan dalam dokumen awam yang disambungkan ke GZL, dengan harapan dapat berhubung dengan Low.

[Baca berita asal]